SEREMBAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan melalui Cawangan Kejuruteraan Mekanikal akan melakukan pemeriksaan lanjut terhadap sebuah ambulans yang terlibat dalam kejadian tiga petugas kesihatan tidak sedarkan diri ketika menaiki kenderaan tersebut di Port Dickson semalam.
Pengarah JKR negeri, Ir. Roslan Mohd. Salleh berkata, pihaknya telah menerima ambulans tersebut daripada pihak Jabatan Kesihatan negeri bagi dilakukan pemeriksaan pada pukul 12 tengah hari tadi.
Tambah beliau, pihaknya dengan kerjasama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri dan Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) negeri telah membuat pemeriksaan dan menemukan kewujudan gas karbon monoksida di dalam kenderaan terbabit.
“Hasil pemeriksaan tersebut, didapati bacaan gas karbon monoksida dan karbon dioksida di dalam kenderaan adalah tinggi.
“Langkah seterusnya, pihak JKR negeri melalui Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Negeri Sembilan akan membuat pemeriksaan lanjut untuk mengenal pasti di mana punca kewujudan gas-gas tersebut terhasil,” katanya hari ini.
Utusan Online semalam melaporkan tiga orang petugas Klinik Kesihatan Bukit Pelandok, Chuah, Port Dickson tidak sedarkan diri ketika dibawa ke Hospital Port Dickson dan disahkan berpunca daripada keracunan gas karbon monoksida di dalam ruang kabin ambulans yang dinaiki mereka.
Berikutan kejadian tersebut, Pengarah Pengarah Kesihatan negeri, Negeri Sembilan, Datin Dr. Harlina Abdul Rashid berkata, kenderaan ambulans itu dihantar ke pihak JKR bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Sementara itu, menurut Ir. Roslan, sekiranya hasil pemeriksaan lanjut mendapati ambulans tersebut layak untuk dilupuskan, pihaknya akan memperakukannya kepada pihak Kementerian Kesihatan berdasarkan pekeliling semasa. -UTUSAN ONLINE