Perintah Temco Bersasar di penjara Alor Setar - Utusan Malaysia

Perintah Temco Bersasar di penjara Alor Setar

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) Bersasar di kawasan Penjara Alor Setar, Kedah berkuat kuasa tengah malam ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah itu akan dilaksanakan selama tempoh 14 hari termasuk di kuarters kakitangan penjara.

Menurut beliau, pelaksanaan perintah itu selepas mengambil kira peningkatan jumlah kes positif Covid-19 atas nasihat Menteri Kesihatan bagi membendung jangkitan dan penularan wabak berkenaan dalam kawasan tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar  dilaksanakan. 

“Sepanjang tempoh ini juga, sebarang pergerakan keluar dan masuk melibatkan  kawasan ini termasuk lawatan oleh keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam laporan harian pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata,  Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 433 individu atas kesalahan ingkar  arahan PKP dengan seramai 345 individu telah dikompaun, 60 direman dan 28 dijamin. 

Kata beliau, antara kesalahan itu ialah melibatkan tidak memakai pelitup  muka (157), aktiviti dalam kelab malam (126), gagal menyediakan  peralatan atau rekod butiran diri (49), penjarakan fizikal (46), aktiviti perjudian (36), menggaji warga asing tanpa permit yang sah (18) serta satu tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menurut beliau, sebanyak 39,362 pemeriksaan semalam dilakukan melalui 2,175 Pasukan Pematuhan melibatkan 9,980 anggota.

“Operasi Benteng pula telah berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 76 PATI dan seorang penyeludup. 

“Daripada jumlah itu, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Rejimen Pertama Kor Armor Diraja berjaya menahan 27 PATI atas kesalahan tidak mempunyai  dokumen pengenalan diri yang sah serta cuba untuk keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan di sekitar Hotel Tiara, Desaru, Bandar Penawar, Johor,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sehingga semalam seramai 40,607 individu telah pulang ke tanah  air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 67 hotel  dan 12 premis lain.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 9,138 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 106 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 31,363 individu telah  dibenarkan pulang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya