Tiga nelayan hilang ditemukan selamat di Singapura - Utusan Malaysia

Tiga nelayan hilang ditemukan selamat di Singapura

TIGA nelayan ditemukan selamat di daratan Pulau Tekong, Singapura selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Pengerang, Johor Bahru semalam. - IHSAN MARITIM MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga nelayan ditemukan selamat selepas bot dinaiki mereka karam ketika menangkap ikan di perairan Pengerang dekat sini semalam.

Ketiga-tiga nelayan terlibat yang berumur 14 hingga 55 tahun ditemukan terdampar di daratan Pulau Tekong, Singapura pagi ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, mereka dikatakan keluar menangkap ikan pada pukul 3.00 petang dan gagal dihubungi pihak keluarga.

Katanya, Maritim Malaysia menerusi Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat (MRSC) Johor Bahru kemudian menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan tiga lelaki itu.

“Sejurus itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada pukul 10.30 malam sebaik menerima maklumat kejadian. 

“Operasi yang diselaraskan Maritim Malaysia meliputi keluasan 20 batu nautika persegi dengan menggunakan sebuah bot Maritim Malaysia bersama sebuah bot dari Pasukan Polis Marin (PPM) dan turut dibantu oleh komuniti nelayan tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata Nurul Hizam, MRSC Johor Bahru kemudian mendapat maklumat daripada Ketua Kampung Teluk Kabong berkenaan penemuan ketiga-tiga mangsa yang terdampar di daratan Pulau Tekong pada pukul 9 pagi.

“Kesemua mangsa dalam keadaan selamat dan memaklumkan bot mereka naiki karam selepas dipukul ombak semasa menjaring di perairan Pengerang. 

“Seterusnya, mereka dibawa penduduk kampung ke Jeti Teluk Kabong dan diarahkan untuk membuat laporan lanjut di balai polis berhampiran. SAR ditamatkan pada pukul 10.15 pagi tadi,” ujarnya.

Katanya, pihak berkuasa Singapura telah dimaklumkan berhubung penemuan tiga nelayan itu di perairan negara mereka.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut dan sentiasa mengutamakan keselamatan dan serta sentiasa melihat keadaan cuaca. 

“Sebarang kecemasan di perairan Johor segera hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor iaitu 07-219 9404 atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.