UMNO perlu berkuasa tawan kerusi bandar – Johari

UMNO perlu berkuasa tawan kerusi bandar – Johari

JOHARI Abdul Ghani berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kekalahan 10 daripada 11 kerusi Parlimen di Kuala Lumpur menjadi isyarat jelas bahawa UMNO perlu menyusun strategi baharu bagi meraih semula sokongan pengundi bandar.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, landskap demografi negara telah berubah dengan majoriti rakyat kini tinggal di kawasan bandar, sekali gus menuntut UMNO menyesuaikan strategi bagi meraih sokongan pengundi bandar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, walaupun beliau berjaya memenangi kerusi tersebut tetapi ia belum memadai kerana BN hanya me­nguasai satu daripada 11 kerusi Parlimen di ibu negara.

“Kita ini masyarakat bandar. Walaupun saya menang, saya anggap saya kalah. Sebab apa? Sebab dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini kita ada 11 kerusi Parlimen.

“Sebanyak 10 kerusi Parlimen dimenangi oleh parti-parti lain. Sedangkan yang memba­ngunkan Kuala Lumpur ini ialah UMNO dan Barisan Nasional. Yang membina rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam juga ialah Barisan Nasional. Tetapi kita kalah.

“Sebab itu saya sentiasa me­nganggap kalau tidak ramai pe­mimpin UMNO menang di Kuala Lumpur, sebenarnya kita masih kalah,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, semalam.

Tambah Johari, pada masa lalu, kekuatan UMNO banyak bergantung kepada sokongan pengundi luar bandar kerana majoriti masyarakat Melayu dan Bumiputera menetap di kawasan berkenaan.

Kata beliau, keadaan itu kini berubah apabila sebahagian besar rakyat telah berhijrah ke bandar, sekali gus mengubah corak sokongan politik.

“Masyarakat Melayu yang ting­gal dalam bandar terlalu sikit. Yang ramai tinggal da­lam bandar ini ma­sya­rakat bukan Melayu khususnya masyarakat Cina.

“Kita (orang Melayu) 73 peratus di luar. Dalam bandar, tiada. Tetapi hari ini, orang Melayu yang tinggal dalam bandar sudah mencecah 73 peratus. Cuma ha­nya 27 peratus saja di luar bandar.

“Kalau kita hendak memperbaiki UMNO ini, mahu menjadi sebagai ‘anchor’ dalam Barisan Nasional, UMNO kena menang semua kerusi dalam bandar. Hendak menang kerusi dalam bandar ini bukan senang,” katanya.

Sementara itu, Johari berkata, masyarakat Melayu dan Bumiputera sebagai kaum majoriti perlu menunjukkan kebijaksa­naan dalam mentadbir negara dengan memastikan hak serta kepentingan kaum minoriti turut dipelihara.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan kestabilan negara terus terpelihara selain meyakinkan kaum minoriti untuk terus memberi sokongan kepada kepemimpinan majoriti.

“Malaysia ini kaum majoriti­nya adalah Melayu dan Bumiputera. Sebagai kaum majoriti, kita mesti mempunyai kebolehan untuk menerima kaum minoriti.

“Kita mesti menunjukkan kebijaksanaan kaum majoriti dan mempunyai keupayaan mentadbir negara supaya kaum minoriti yakin untuk terus menyokong kita sebagai kaum majoriti,” katanya.

Tambah Johari, UMNO perlu kembali membina keyakinan semua masyarakat dengan menampilkan pemimpin yang membawa agenda negara, bukan hanya agenda kaum.

“UMNO mesti mempunyai pemimpin yang mempunyai mentaliti majoriti membina negara. Kalau kita hanya mempunyai mentaliti untuk mementingkan kaum sahaja, akhirnya kaum itu sendiri akan berpecah kepada beberapa kelompok,” katanya.

Beliau turut menyokong cadangan supaya UMNO kembali menjadi Rumah Bangsa sebagai wadah penyatuan masyarakat Melayu dan Bumiputera.

“Saya adalah penyokong kuat ideologi ini. Walaupun Pas pernah meninggalkan kita dalam Muafakat Nasional untuk menyertai Perikatan Nasional, kita tetap membuka ruang kerjasama.

“Bersatu dahulu sebahagian daripada kita, kemudian keluar apabila kita kalah. Namun apabila kita jatuh, adakah kita peduli? Akhirnya Bersatu juga berpecah dan Pas kembali bekerjasama dengan UMNO kerana kita mempunyai keikhlasan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN