'Tak payah debat-debatlah, buat apa nak buang masa' - Utusan Malaysia

‘Tak payah debat-debatlah, buat apa nak buang masa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan tiada keperluan untuk mengadakan debat atau dialog antara Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan Dr. Maszlee Malik.

Mohamad menyifatkan agenda yang dimainkan Pakatan Harapan (PH) yang mendesak debat itu dilakukan sebagai tindakan membuang masa ketika Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berbaki empat hari lagi.

Katanya, adalah lebih baik semua calon yang bertanding menumpukan kepada gerak kerja mendekati pengundi bagi meraih sokongan.

“Tak payah debat-debatlah, buat apa nak buang-buang masa berdebat-debat, kan? Buat kerja saja dan biar orang Johor buat keputusan. Dalam pada kita debat-debat, entah apa perkara yang kita cakap tak elok,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lima Kedai, di sini malam tadi.

Tambah Mohamad, persiapan dan gerak kerja jentera BN tersusun setelah UMNO sebagai terasnya mempunyai jentera akar umbi yang kuat.

“Saya lihat gerak kerja disusun dengan teratur dan dilakukan dengan baik. Dan kita mempunyai beberapa hari saja lagi untuk kita menyantuni seramai mungkin pengundi untuk meyakinkan mereka untuk memberikan sokongan kepada BN, insya-Allah,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad turut mengingatkan pengundi muda agar tidak terpengaruh dan termakan dengan fitnah serta tohmahan yang bertaburan di media sosial.

“Pengundi muda akan menjadi antara penentu utama keputusan PRN ekoran majoriti pengundi di Johor berusia 50 tahun ke bawah. Saya harap pengundi muda di membuat keputusan yang baik dan keputusan yang betul.

“Yang penting, kerajaan yang akan ditubuhkan selepas 11 Julai ini mestilah sebuah kerajaan yang mantap dan mampu mentadbir Johor dengan stabil untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN