JELEBU: Setiap parti yang bertanding dalam pilihan raya sememangya meletakkan sasaran sendiri dan keyakinan untuk memperoleh kemenangan namun ia perlu berdasarkan keadaan semasa.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keadaan semasa itu termasuklah mengambil kira realiti di peringkat akar umbi.
“Apabila bertanding, tentunya kena yakin. Walaupun sasaran itu terlalu baik untuk dipercayai, ia harus berasaskan realiti.
“Kita tunggu dan lihat sama ada mereka atau Barisan Nasional (BN) yang dapat sekurang-kurangnya 23 kerusi,” katanya ketika ditemui pemberita di Felda Pasoh 1, di sini semalam.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, jumlah kerusi sekitar 22 hingga 24 Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi sasaran untuk dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan dengan majoriti dua pertiga.
Jumlah berkenaan perlu dicapai oleh parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan supaya kerajaan yang dibentuk kelak tidak goyah seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, antara punca beliau memilih bertanding di DUN Linggi juga adalah supaya PH dapat mencapai jumlah kerusi yang disifatkannya sebagai lebih kukuh dan selesa.
Katanya, strategi itu juga bertujuan agar PH dapat meluaskan kawasan yang dimenangi iaitu di luar bandar berbanding kerusi bandar dan pinggir bandar yang menjadi kubu kuat selama ini.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti menyasarkan untuk menang sekurang-kurangnya 23 daripada 36 kerusi DUN yang dipertandingkan dalam PRN Negeri Sembilan kali ini.
Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu berkata, PH memerlukan mandat lebih besar bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri yang stabil.
BN pada PRN 2023 memenangi sebanyak 14 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) pula sebanyak lima kerusi.
Dalam PRN Negeri Sembilan kali ini, kedua-dua gabungan itu membentuk persefahaman politik dengan BN meletakkan calon di 25 kerusi manakala BN di baki 11 kerusi.
Sebanyak 19 kerusi diperlukan bagi membentuk kerajaan Negeri Sembilan dengan majori mudah manakala 24 kerusi bagi membentuk majoriti dua pertiga. – UTUSAN










