JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor tidak seharusnya menumpukan projek pembangunan mega semata-mata tetapi akhirnya terlepas pandang masalah dan keperluan rakyat marhaen yang masih belum terbela.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak ada gunanya mengeluh pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) belum dimeterai kerana projek tetap berjalan dan puluhan bilion ringgit dana masuk direkodkan.
Katanya, peruntukan diterima Johor adalah lebih tinggi berbanding negeri lain seperti Perak, Selangor atau Pulau Pinang kerana negeri ini mempunyai potensi untuk muncul sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi penting di rantau ini.
“Selalu saya tekankan, jadi Menteri Besar, jangan kita ingat projek besar-besar sahaja. Mengenai JS-SEZ, RTS, itu kerajaan Persekutuan. Soal jalan kecil, surau, rumah-rumah rakyat dan rumah generasi kedua, itu kerajaan negeri, tolong buatlah. Yang puluh-puluh bilion tu saya bantu, kerja saya.
“Saya pergi ke rumah kos rendah, teruk keadaan dia, ini rumah milik negeri, baikilah sikit,” katanya ketika berucap pada Program Dialog Terbuka Belia Johor di Felda Ulu Tebrau, di sini malam tadi.
Anwar yang juga Presiden PKR itu berkata, Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Menteri Besar Johor perlu bersikap adil dan baik dengan semua pihak.
“Johor Bahru ini kota yang segar, rancak pembangunannya dan pertumbuhannya maju, antara pembangunan yang membanggakan di rantau ini. Tapi setengah jam daripada situ, nampak kawasannya daif,” katanya.
Anwar berkata, golongan muda harus bijak memilih pemimpin Melayu yang bermaruah supaya pemikiran soal ‘Cina nak ambil alih negara’ tidak lagi berlaku.
“Ini tidak, pergi ke kawasan Felda, marah orang, jumpa penjawat kerajaan, marah orang, jumpa anak muda, ajar sana ajar sini, tapi kalau tengok orang besar sikit, tersengih-sengih.
“Saya ada menghadap Pemangku Sultan Johor, dalam sistem raja kita kena jaga dan muliakan. Tetapi, bezanya saya apa? Saya cakap dengan baik. Ampun Tuanku, ini masalah-masalah yang kita kena dengar, Tuanku dengar.
“Kenyataan kita kena sampaikan, saya ada mandat, saya dengar pendengaran rakyat. Felda kata apa? Rumah rakyat kata bagaimana? Masjid yang buruk, daif bagaimana? Sekolah-sekolah daif bagaimana? Ini saya kena sampaikan,” katanya.-UTUSAN










