Manifesto PH fahami keperluan rakyat

Manifesto PH fahami keperluan rakyat

MANIFESTO Pakatan Harapan (PH) yang menawarkan 10 komitmen utama bagi PRN Negeri Sembilan memberi gambaran parti itu amat memahami cabaran dihadapi rakyat ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang menawarkan 10 komitmen utama bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan memberi gambaran parti itu amat memahami cabaran dihadapi rakyat ketika ini.

Seorang pengundi di DUN Seremban Jaya, Phang Sing Yee, 37, berkata, manifesto itu memperlihatkan PH memahami kegelisahan dihadapi rakyat khususnya golongan muda yang semakin sukar memiliki kediaman sendiri.

PHANG SING YEE

Menurutnya, sasaran membina 20,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun tidak hanya janji pilihan raya, sebaliknya mencerminkan komitmen membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman.

“Manifesto ini menunjukkan PH benar-benar memahami kesukaran rakyat, khususnya golongan muda yang berdepan kenaikan harga rumah.

Sasaran membina 20,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun bukan sekadar janji, tetapi satu komitmen untuk memastikan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki kediaman sendiri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, pengundi DUN Labu, M. Vanitha, 37, menyambut baik cadangan pembangunan Seremban Sentral yang disifatkannya mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas selain menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

M. VANITHA

Katanya, projek itu amat diperlukan memandangkan Seremban semakin pesat membangun dengan pertambahan kawasan perumahan dan penduduk, selain ramai yang berulang-alik bekerja ke Kuala Lumpur.

“Kalau pembangunan Seremban Sentral ini dilaksanakan memang bagus kerana kesesakan lalu lintas sekarang agak teruk. Penggunaan tren komuter dan ETS juga lebih memudahkan orang ramai untuk bekerja atau ke destinasi lain,” katanya.

Dalam pada itu, Vanitha berharap pembinaan lebih banyak rumah mampu milik supaya membantu golongan bekerja yang memilih menetap di Negeri Sembilan berikutan kos kediamannya lebih berpatutan berbanding negeri berhampiran.

Naib Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan, Shahriman Ramly, 29, pula berkata, komitmen mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan berkualiti merupakan tawaran yang relevan dengan aspirasi golongan muda, terutama berkaitan peluang pekerjaan, pendapatan dan masa depan mereka di negeri sendiri.

SHAHRIMAN RAMLY

Bagaimanapun, katanya, sasaran tersebut perlu disokong dengan pelan pelaksanaan yang jelas agar tidak sekadar menjadi angka menarik sepanjang musim pilihan raya.

“Jika peluang pekerjaan berkualiti dapat diwujudkan di Negeri Sembilan, sudah tentu lebih ramai anak muda akan memilih untuk terus bekerja dan membina kehidupan di negeri sendiri.

“Belia tidak menolak manifesto ini, namun kami mahukan sasaran yang mempunyai garis masa, petunjuk prestasi utama (KPI) dan mekanisme pelaksanaan yang jelas,” katanya.

Semalam, media melaporkan antara tawaran utama dalam manifesto PH adalah untuk mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan berkualiti dan bergaji tinggi serta membina 20,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun.

Selain itu, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, gabungan itu turut komited merealisasikan projek Pelabuhan Antarabangsa Port Dickson, Landasan rel Bypass Senawang-Port Klang dan pembangunan Seremban Sentral. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN