Hentikan budaya politik sensasi, Caprice tak bawa impak - AMK

Hentikan budaya politik sensasi, Caprice tak bawa impak – AMK

PH juga banyak bergantung kepada pelobi untuk mengatur kempen PRN Johor sehingga menjejaskan undi di banyak kerusi DUN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) perlu menghentikan politik mencari sensasi seperti menampilkan pempengaruh, Caprice yang langsung tidak membawa impak signifikan semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Amir Zuhair Abdul Khalid berkata, gabungan itu juga perlu menoktahkan budaya narsistik yang lebih mengejar perhatian berbanding hasil ketika musim PRN.

Katanya, perkara itu termasuk mencabar pihak lawan berdebat dan mencipta kontroversi sehingga kelihatan seperti drama politik yang diulang siar.

“Realitinya, individu seperti Caprice dan Ahmad Faizuddin tidak membawa impak signifikan terhadap undi. Apa yang kelihatan hebat di media sosial tidak semestinya diterjemahkan kepada sokongan di peti undi.

“Budaya mencabar orang berdebat, menyerang sana sini dan mencipta kontroversi mungkin menghasilkan tontonan yang tinggi, tetapi ia tidak semestinya menambah keyakinan rakyat terhadap parti.

“Rakyat semakin matang. Mereka mahukan penyelesaian kepada masalah kehidupan, bukannya drama politik yang diulang-ulang sehingga menimbulkan rasa muak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Amir Zuhair berkata, PH juga banyak bergantung kepada pelobi untuk mengatur kempen PRN Johor sehingga menjejaskan undi di banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, banyak program yang disusun hanya sekadar ‘syok sendiri’ dipenuhi gimik dan publisiti, namun gagal menyentuh isu sebenar yang sedang dihadapi rakyat.

“Kempen pilihan raya bukan pertandingan siapa paling gah atau paling mewah. Kempen adalah usaha menyelami hati dan kehidupan pengundi.

“Jangan lagi menyerahkan strategi kempen kepada kelompok pelobi yang hanya pandai menjual idea tetapi tidak memahami denyut nadi rakyat. Mungkin mereka mempunyai wang, akses dan pengaruh, namun itu tidak menjamin keberkesanan di lapangan,” katanya.

Amir Zuhair berharap kepemimpinan tertinggi PH dapat belajar daripada Barisan Nasional (BN) dalam soal pemilihan calon yang lebih dikenali masyarakat setempat, mudah didekati dan sentiasa turun menyantuni rakyat.

Katanya, berbanding calon PH, ada segelintir calon datang berkempen dengan konvoi kereta mewah, lengkap dengan pemandu peribadi, pengawal keselamatan dan rombongan yang mengelilingi mereka ke mana sahaja.

“Suasana seperti ini bukan sahaja mewujudkan jurang dengan rakyat, malah menyebabkan ramai yang menyampah. Rakyat tidak mahu melihat seorang ‘VIP’. Mereka mahu bertemu seorang bakal wakil rakyat.

“Jika benar merasakan diri terlalu eksklusif dan berstatus sehingga sukar merendahkan ego, janganlah menawarkan diri sebagai calon DUN.

“Politik akar umbi menuntut kerendahan hati, bukannya rasa diri lebih besar daripada orang lain. Jika cita-cita hanya mahu mengejar kedudukan yang lebih tinggi, tunggulah pilihan raya umum dan mohon bertanding di kerusi Parlimen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN