Baharudin mahu atasi isu jalan berlubang di Pasir Gudang

Baharudin mahu atasi isu jalan berlubang di Pasir Gudang

BAHARUDIN Mohamed Taib (tengah) menyantuni penyokong BN yang mengiringi beliau menuju ke Pusat Penamaan Calon DUN Permas Di Dewan Muafakat Taman Mawar, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KEADAAN dan kerosakan jalan raya sekitar Pasir Gudang sering menimbulkan rungutan dalam kalangan pengguna dan ia berlarutan lama dan tiada penyelesaian sehingga kini.

Kerosakan jalan yang dihadapi ribuan pengguna jalan raya seolah-olah akan berterusan tanpa sebarang penyelesaian yang tuntas.

Wartawan Utusan Malaysia, KHAIRUL MOHD. ALI menemubual calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, BAHARUDIN MOHAMED TAIB

Beliau memberitahu mahu memastikan permasalahan legasi itu dapat diatasi sepenuhnya sekiranya diberikan mandat oleh rakyat untuk mewakili mereka.

UTUSAN: Sekiranya diberikan mandat sekali lagi, apa isu penduduk yang hendak ditangani?

BAHARUDIN: Sebenarnya apa yang saya mahu laksanakan pada penggal lepas masih belum terlaksana sepenuhnya iaitu isu-isu asas seperti jalan raya. Semua orang tahu jalan-jalan di Pasir Gudang itu banyak kerosakan, jadi kita kena pastikan jalan-jalan ini selamat. Sekiranya perkara itu dapat dicapai ia bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, tetapi juga keselamatan pengguna di jalan raya.

Apakah lagi isu-isu utama dihadapi penduduk khususnya di DUN Permas?

Saya mahu menambah baik alternatif pengangkutan awam kepada pengguna setempat agar ia dapat dijadikan mod pengangkutan pilihan utama khususnya untuk pergi dan balik ke tempat kerja.

Antara yang akan dicadangkan adalah menambah jumlah bas atau kekerapan perjalanan supaya pengguna tidak perlu menunggu terlalu lama. Kerajaan negeri ada inisiatif Bas Muafakat Johor, Saya mahu promosikan perkhidmatan itu kepada lebih ramai pengguna. Selain itu, tumpuan saya juga terhadap isu perumahan mampu milik penduduk setempat.

Berdepan saingan empat penjuru, apakah kelebihan anda berbanding calon lain?

Apa yang saya miliki berbanding calon-calon lain adalah rekod perkhidmatan di kawasan ini. Sebahagian besar rakyat Pasir Gudang sudah mengenali saya kerana sudah lama bergiat aktif dalam politik dan juga kerja-kerja kemasyarakatan di kawasan Permas.

Apakah kaedah berkempen yang akan digunakan untuk mendekati pengundi?

Bercakap soal kempen politik ini, saya lihat ada segelintir pihak yang sudah keterlaluan. Banyak individu yang memainkan soal agama, bangsa dan juga budaya. Itulah yang menyebabkan orang ramai marah sehingga mula bercakaran antara satu sama lain. Kerana itu kita perlu kembali kepada suasana masyarakat yang harmoni seperti sebelum ini ketika negara dan negeri ditadbir BN.

Mengapa pengundi DUN Permas perlu memilih BN?

BN ini adalah satu gabungan parti politik yang merangkumi tiga kaum terbesar dalam Malaysia iaitu Melayu, Cina dan juga India. Sejak negara mencapai kemerdekaan lagi hubungan silaturahim antara rakyat pelbagai kaum melalui pimpinan politik dilantik ketiga-tiga parti itu telah bersepakat untuk bekerjasama membangun negeri dan negara ini demi kesejahteraan semua pihak. Jadi BN adalah pilihan yang jelas dan wajar untuk pengundi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN