Agropelancongan mampu pacu ekonomi Seri Menanti

Agropelancongan mampu pacu ekonomi Seri Menanti

MOHD. Kamarul Arifin Mohd. Wafa ketika beramah mesra bersama penduduk kampung pada sesi walkabout di sekitar Kampung Bacang Seri Menanti, Kuala Pilah. – MINGGUAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Pembangunan sektor agropelancongan mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Seri Menanti menerusi gabungan sektor pertanian, pelancongan desa dan per­usahaan komuniti.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Seri Menanti, Mohd. Kamarul Arifin Mohd. Wafa berkata, kawasan itu mempunyai potensi besar untuk dibangunkan berdasarkan kekuatan sektor pertanian, keluasan tanah adat serta nilai sejarah yang dimiliki.

Menurut beliau, Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Kuala Pilah 2035 telah menggariskan Seri Menanti sebagai kawasan yang berpotensi dibangunkan sebagai pusat pelancongan.

“Perancangan itu dijangka memberi limpahan ekonomi ke­pada penduduk apabila lebih banyak peluang perniagaan dapat diwujudkan.

“Rumah-rumah di sepanjang laluan boleh diusahakan sebagai inap desa untuk menerima kehadiran pelancong.

MOHD. KAMARUL ARIFIN MOHD. WAFA

“Apabila lebih ramai pelancong datang, ekosistem ekonomi juga akan berkembang dengan kewujudan kafe, perusahaan makanan dan kuih tradisional yang diusahakan oleh penduduk setempat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Mohd. Kamarul berkata, perancangan berkenaan bukan sesuatu yang baharu kerana ia telah terkandung dalam RTD Kuala Pilah 2035 yang merangkumi pembangunan pelanco­ngan, penggunaan tanah dan sektor pertanian.

Katanya, tumpuan kini adalah memastikan segala perancangan yang dirangka dapat dilaksanakan secara berperingkat supaya manfaatnya dapat dinikmati masyarakat.

Pada masa sama, terdapat ba­nyak tanah adat di Seri Menanti perlu dimanfaatkan sepenuhnya menerusi aktiviti pertanian bagi menjana pendapatan penduduk.

“Status tanah adat sebagai tanah pertanian membuka peluang kepada kerajaan untuk memperkasa usahawan tani dan mengusahakan semula tanah yang terbiar.

“Penglibatan golongan muda amat penting bagi memastikan sektor pertanian terus berkembang selain mampu menarik mereka pulang ke kampung halaman,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan perlu menyediakan ekosistem yang lengkap bagi menyokong hasrat tersebut termasuk peluang ekonomi, kemudahan asas dan program pembangunan belia.

Beliau berkata, ketika mengunjungi sekitar kampung di Seri Menanti, beliau melihat sendiri anak-anak muda berjaya mengusahakan tanaman cili yang dipasarkan terus kepada restoran dan kedai makan tanpa melalui orang tengah.

“Contoh itu membuktikan sektor pertanian mampu memberikan pulangan sekiranya mendapat sokongan dan ekosistem yang sesuai daripada kerajaan.

“Bagi memastikan lebih ramai belia memilih untuk terus menetap di kampung, kemudahan sukan, rekreasi dan aktiviti belia juga perlu dipertingkatkan supaya mereka mempu­nyai keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan di kawasan luar bandar,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh pembangunan kawasan itu, kerajaan turut melaksanakan beberapa projek yang dijangka memberi limpahan manfaat kepada penduduk Seri Menanti.

Antaranya ialah pembinaan dua jalan alternatif Seremban-Kuala Pilah bernilai RM165.46 juta yang dijadualkan siap secara berperingkat antara 2026 hingga 2027 bagi meningkatkan jaringan perhubungan dan merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Selain itu, Program Kampung Angkat Madani memperuntukkan RM1.2 juta bagi melaksanakan lapan projek infrastruktur kampung yang kini telah siap demi meningkatkan kemudahan asas kepada penduduk.

Golongan pekebun kecil sawit dan getah pula menerima manfaat menerusi inisiatif Budi Agri-Komoditi yang menyediakan subsidi diesel sebanyak RM400 sebulan, manakala Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) RISDA 2026 terus disalurkan kepada pekebun kecil yang layak.

Mohd. Kamarul berkata, PH yakin segala perancangan yang dibawa mampu direalisasikan berdasarkan pengalaman mentadbir Negeri Sembilan sebelum ini.

Menurut beliau, hampir ke­seluruhan manifesto yang dijanjikan ketika mentadbir negeri berjaya dilaksanakan dan memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan ibu, kanak-kanak dan pelajar.

“Pengalaman itu memberi keyakinan bahawa manifesto baharu yang diperkenalkan juga mampu dilaksanakan sekiranya PH kembali diberi mandat mentadbir negeri.

“Selain pembangunan ekonomi, kebajikan penduduk tetap menjadi perhatian terutama dalam membantu menyelesaikan masalah kehidupan harian seperti rumah uzur, atap bocor dan keperluan asas penduduk,” katanya.

Tambah beliau, terdapat juga warga emas yang memerlukan bantuan mendapatkan rawatan di hospital serta sokongan masyarakat untuk menguruskan keperluan harian mereka.

Sehubungan itu, beliau bercadang menubuhkan Skuad Relawan Seri Menanti yang menghimpunkan pesara tentera, pertubuhan belia dan badan masyarakat bagi menggerakkan aktiviti kesukarelawanan termasuk membantu warga emas, menziarahi penduduk serta menyelesaikan aduan komuniti.

Mengulas mengenai landskap politik semasa, Mohd. Kamarul berkata, sentimen agama dan kaum tidak sepatutnya dijadikan alat untuk meraih sokongan ke­rana hanya akan memecahbelahkan masyarakat yang telah sekian lama hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

Sebaliknya, beliau berkata, pembangunan dan kemakmuran perlu dinikmati semua rakyat tanpa mengira kaum atau agama selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

“Pengundi Seri Menanti diharap dapat memberi peluang kepada PH bagi membolehkan agenda pembangunan yang dirancang diteruskan dengan soko­ngan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN

PROFIL CALON PH DUN SERI MENANTI

Nama: Mohd. Kamarul Arifin Mohd. Wafa
Umur: 46 tahun
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Kerjaya: Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Jawatan Politik: AJK Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama, PKR

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN