KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli bukan sekadar saingan politik biasa, sebaliknya menjadi cabaran buat Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang muncul sebagai underdog jika bertanding di kawasan tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu mengakui Rafizi mempunyai kelebihan sebagai penyandang selain pengalaman luas dalam arena politik negara.
Katanya, walaupun ada pihak melihat pertembungan Tengku Zafrul dengan Rafizi sebagai berisiko tinggi, namun beliau menyerahkan sepenuhnya kepada keputusan kepada pucuk pimpinan parti.
“Beliau lebih daripada saingan kerana beliau adalah penyandang (incumbent) dan seorang yang berpengalaman.
“Saya pula hanya ‘underdog’,” katanya ketika ditemui, semalam.
Tengku Zafrul sebelum ini telah diberi mandat oleh Perdana Menteri untuk memantau dan menyelaras kawasan tersebut memandangkan kerusi itu ini tidak mempunyai wakil rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut berkata, walaupun ada pihak melihat pertembungan dengan Rafizi sebagai langkah berisiko kerana berdepan seorang tokoh yang mempunyai pengaruh besar dalam politik negara, namun beliau bersedia menerima apa sahaja keputusan yang dibuat parti.
“(Bertanding di Pandan ibarat hidup mati dalam karier politik)..memang ada yang boleh berpendapat bahawa ini risiko yang tinggi berdepan dengan seorang yang nama besar dalam politik.
“Tetapi saya serahkan kepada parti. Kita ini team player. Kalau parti mahu kita bertanding menentang seorang yang nama besar, kita kena ikutlah arahan pucuk pimpinan parti,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai perpecahan yang mungkin berlaku dalam kalangan pengundi Pandan khususnya masyarakat Cina berikutan kewujudan Parti Bersama Malaysia (Bersama), Tengku
Zafrul berkata, kebimbangan itu bukan hanya tertumpu di Pandan, malah turut melibatkan kawasan Parlimen lain.
“Kerisauan kita bukan sahaja di Pandan, tetapi di semua kawasan parlimen lain. Jadi pendekatannya tida ada cara lain, perlu mendekati pengundi dan faham isu di kawasan tersebut. Ini kerana pengundi Cina di Pandan contohnya mempunyai 47 peratus,’ katanya.
Tengku Zafrul turut berkata, sehingga hari ini beliau belum mendapatkan ‘restu’ daripada cabang PKR untuk bertading di sini kerana belum mendapat sebarang pengesahan yang dirinya bertanding di Pandan.
Untuk rekod, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR menang besar di Parlimen Pandan dengan majoriti 48,296 undi menewaskan empat pencabar lain.
Beliau juga pernah menang Parlimen Pandan pada PRU13, manakala PRU14, kerusi tersebut dimenangi bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. – UTUSAN










