Onn Hafiz pernah rayu kerjasama DAP pada PRK Mahkota - DAP Johor - Utusan Malaysia

Onn Hafiz pernah rayu kerjasama DAP pada PRK Mahkota – DAP Johor

ONN HAFIZ Ghazi (dua kiri) bergambar bersama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook (tiga kiri) semasa berkempen pada PRN Mahkota, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: DAP Johor membidas kenyataan dibuat Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa beliau enggan menjadi Menteri Besar sekiranya perlu duduk semeja dan bekerjasama dengan DAP selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, kenyataan dibuat Onn Hafiz itu bersifat angkuh, apatah lagi selepas pemimpin berkenaan pernah merayu bantuan jentera DAP ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota, dua tahun lalu.

“Kenyataan Onn Hafiz Ghazi sangat angkuh. Semasa Syed Hussien Syed Abdullah bertanding di Mahkota, merayu-rayu kamu minta DAP tolong,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Semalam, Onn Hafiz ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Negeri Johor di Stadium Tertutup Kompleks EduCity menegaskan bahawa BN Johor tidak pernah bekerjasama dengan DAP dan beliau enggan bersama-sama parti berkenaan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Tambah Sheikh Umar, seorang pemimpin perlu menolak perbezaan kecil sebaliknya mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat yang akan menerima manfaat daripada pentadbiran berkesan, stabil dan berintegriti.

“Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan telah membuktikan parti yang mempunyai latar belakang berbeza mampu bekerjasama demi kestabilan negara, pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kerjasama tersebut bukan bermaksud semua pihak perlu bersetuju dalam setiap perkara, tetapi menunjukkan kematangan untuk meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan parti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, DAP dan Pakatan Harapan (PH) Johor sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa politik harus menjadi medan untuk membina, bukan memecah-belahkan.

“Kami menghormati mandat rakyat, institusi demokrasi serta peranan semua pihak dalam membangunkan Johor sebagai sebuah negeri yang maju, inklusif dan makmur. Justeru, perbincangan mengenai masa depan Johor perlu tertumpu kepada dasar, prestasi dan tawaran kepada rakyat dan bukan retorik yang berisiko menjarakkan ruang kerjasama demi kepentingan negeri dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN