Tindakan 14 ADUN UMNO satu pengkhianatan - Aminuddin - Utusan Malaysia

Tindakan 14 ADUN UMNO satu pengkhianatan – Aminuddin

JOHOR BAHRU, 17 Mei - Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berucap sempena Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO negeri itu yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan beliau sebagai satu pengkhianatan.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR sehubungan itu berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di semua peringkat perlu jadikan insiden tersebut sebagai pengajaran pada masa depan.

Katanya, PH mempunyai had terhadap kesabaran dan maruah yang perlu dipertahankan.

“Kami di Negeri Sembilan ada kapal besar. Kapal yang dibina cukup hebat. Besar, kukuh, tak makan dek badai, perjalanan jauh telah kita lalui bersama. Kita sebagai nakhoda, mereka tunjuk kesetiaan ketika di dalam kapal, tiba-tiba mereka tak selesa, mungkin panas, mungkin mereka rasa mahu sesuatu yang baharu, mereka tebuk dari dalam.

“Kapal ditebuk, air masuk. Saya terfikir kenapa ditebuk tanpa ada tanda-tanda, tanpa ada rasa tidak puas hati. Hari ini walaupun telah ditampal tetapi ada tanda kebocoran, itulah tanda ada pengkhianatan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, PH telah menunjukkan sikap kerjasama dan perpaduan tinggi apabila mampu menjalin kerjasama politik untuk menubuhkan kerajaan sama ada di peringkat pusat mahupun negeri demi kesejahteraan rakyat.

“Kita tidak boleh diadu domba, diugut setiap masa. Hari ini mereka nak bersama tetapi kemudian ada masanya mereka tolak kita, adakah ini caranya bersahabat, adakah ini caranya bekerjasama,” soalnya.

Tambah Aminuddin, situasi yang berlaku di Negeri Sembilan menunjukkan fokus pilihan raya negeri ketika ini tidak hanya tertumpu di Melaka dan Johor, tetapi juga di negeri berkenaan.

“Konvensyen PH 2026 ini akan menjadi bukti bahawa kita sudah bersedia untuk menang dalam pilihan raya, bila-bila ia diumumkan. Hari ini menunjukkan kesatuan antara kita, sebelum ini sewaktu pemilihan PKR Negeri Sembilan berkecamuk, tetapi hari ini kita cukup bersatu padu dan kukuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN