Tak perlu kritik, herdik atau ajar UMNO jika mahu bekerjasama - Utusan Malaysia

Tak perlu kritik, herdik atau ajar UMNO jika mahu bekerjasama

Baharudin Mohamed Taib
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Mana-mana parti politik yang hendak bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO tidak perlu mengkritik, mengherdik atau mengajar parti berusia 80 tahun itu cara berpolitik.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Baharudin Mohamed Taib berkata, UMNO bebas untuk bergerak secara solo atau bersama mana-mana pihak dalam pilihan raya akan datang.

“Jika nak bersama UMNO tak perlu tinggikan suara, tak perlu herdik-herdik UMNO, tak perlu fitnah-fitnah UMNO, tak perlu nak ajar-ajar UMNO dan tak perlu nak paksa-paksa UMNO.

“Bincang baik-baik, bincang elok-elok dan UMNO akan pilih mana-mana parti yang boleh saling hormat menghormati antara satu dengan lain. Jika tak ada yang berkenan disana mahupun disini maka UMNO sanggup untuk bergerak solo daripada hidup berduka lara,” katanya dalam sesi perbahasan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Baharudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas turut mengakui UMNO telah dihina rakyat atas kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 lalu.

“Mungkin pemimpin utama semua parti tidak mahu lagi peristiwa pertukaran Perdana Menteri berlaku sehingga empat kali dalam tempoh satu penggal. Situasi itu menyebabkan negara tidak dapat ditadbir dengan sempurna hingga rakyat menanggung kesusahannya.

“Walaubagaimanapun, jangan lupa bahawa UMNO bukan parti komponen kepada PH. Kerjasama ini hanya bertujuan menubuh kerajaan supaya kerajaan pusat boleh dibentuk dalam keadaan semua parti tidak cukup majoriti,” katanya.

Semalam, Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong yang juga ADUN Perling menegaskan formula terbaik untuk UMNO memenangi pilihan raya akan datang akan dengan meneruskan kerjasama politik bersama PH termasuk DAP.

Beliau dilaporkan berkata, zaman parti dominan sudah lama berlalu dan rakyat Malaysia tidak lagi mengalu-alukan keadaan politik sedemikian.

“Seperti pepatah Melayu, musuh jangan dicari, tetapi kalau musuh datang menyerang, pantang kita mengelak. Namun, saya berpandangan adalah lebih baik jika kita semua dapat bekerjasama. Muafakat membawa berkat, sama-sama kita bangunkan negeri dan negara demi kesejahteraan Johor dan Malaysia,” katanya ketika berbahas dalam Sidang DUN Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×