PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan tidak mengambil serius laporan analisis strategik dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengklasifikasikan Parlimen Sungai Buloh sebagai kerusi zon merah atau berisiko tinggi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, fokus utamanya ketika ini adalah memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk di kawasan parlimennya tanpa terlalu memikirkan kedudukan politik semasa.
“Sama ada kerusi itu berada di tahap satu, dua atau tiga, saya tidak kisah. Bagi saya, fokus utama adalah rakyat di Sungai Buloh,” katanya ketika ditemui selepas Program Sumbangan Pelajar Cemerlang SPM 2025 Parlimen Sungai Buloh di Dewan Serbaguna Seksyen 7 Kota Damansara, di sini hari ini.
Menurut beliau, pelbagai program yang dilaksanakan sebelum ini memberi tumpuan kepada kebajikan serta keperluan rakyat di kawasan tersebut.
Menteri Sumber Manusia itu berkata, program bantuan pendidikan, bantuan persekolahan dan pelbagai inisiatif lain mendapat sambutan baik daripada penduduk setempat.
“Hari ini sahaja hampir 2,000 penduduk hadir. Program bantuan persekolahan awal sebelum ini juga melibatkan lebih 4,000 penerima,” katanya.
Beliau berkata, sebarang analisis politik adalah pandangan pihak tertentu dan tidak semestinya mencerminkan keseluruhan penduduk Sungai Buloh.
“Saya tidak ambil serius sangat analisis itu sebab mungkin ia dibuat berdasarkan sebahagian kecil responden sahaja,” katanya.
Mengulas kemungkinan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kembali bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh, beliau menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN).
“Itu terpulang kepada Presiden Barisan Nasional. Kena tanya dia,” katanya. – UTUSAN










