Raja Berperlembagaan perlu difahami dalam konteks struktur Malaysia

Raja Berperlembagaan perlu difahami dalam konteks struktur Malaysia

Raja Berperlembagaan
SIVAMALAR GENAPATHY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua Kiam Wee diingatkan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia mempunyai peranan yang luas dan wajar difahami dalam konteks sejarah serta struktur kenegaraan Malaysia.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Sivamalar Genapathy berkata, bekas Ahli Parlimen Damansara itu seharusnya merujuk kepada pandangan Sultan Perak Ke-34, Almarhum Sultan Azlan Shah dalam eseinya bertajuk ‘Peranan Raja Berperlembagaan’.

“Raja adalah raja, sama ada ia monarki mutlak atau berperlembagaan. Tetapi silap jika menganggap peranan seorang raja dalam sistem raja berperlembagaan terhad kepada perkara termaktub dalam perlembagaan. Peranannya lebih daripada yang diperuntukkan dalam perlembagaan (pandangan Sultan Azlan Shah)

“Pemimpin politik yang mengeluarkan kenyataan seolah-olah mempertikai titah atau teguran sultan, bukan sekadar perbezaan pandangan politik, tetapi boleh ditafsirkan sebagai tidak menghormati semangat Rukun Negara, khususnya prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tony Pua sebelum ini dikritik pelbagai pihak susulan tindakannya mengeluarkan kenyataan mengkritik titah Sultan Selangor dengan mendakwa peranan sultan itu terhad kepada kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan berperlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ekoran itu, sebanyak 77 laporan polis dibuat membabitkan beliau termasuk 48 lagi laporan polis yang dibuat hari ini berhubung hantaran dalam Facebooknya itu.

Polis kemudian membuka kertas siasatan dan merakam percakapan bekas Tony Pua selepas dipanggil oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, berhubung siasatan yang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) terhadap kes berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pada masa ini proses rakaman percakapan masih dijalankan di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Justeru, Sivamalar yang juga Timbalan Setiausaha Agung PKR menyarankan Tony Pua supaya berhati hati dalam membicarakan soal Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

“Mukadimah Rukun Negara dengan jelas menekankan perpaduan nasional, pemeliharaan cara hidup demokratik, keadilan yang saksama, penghormatan terhadap kepelbagaian budaya, serta pembinaan sebuah masyarakat progresif.

“Tiada siapa mengatakan Malaysia ditadbir melalui dekri sesuka hati seperti yang cuba digambarkan. Itu hanyalah hujah strawman yang tidak membantu kepada pemahaman rakyat terhadap realiti sistem kenegaraan negara,” jelasnya.

Sivamalar menambah, Malaysia memerlukan perbahasan yang matang, berasaskan fakta dan kefahaman menyeluruh terhadap sistem kenegaraan, dengan ruang perbezaan pandangan yang diraikan secara bertanggungjawab.

“Rakyat hari ini cukup bijak untuk menilai sesuatu kenyataan secara adil, dan kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memastikan wacana awam terus dipandu oleh kebijaksanaan, hormat institusi dan semangat perpaduan nasional,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN