Kemelut politik tekan Anwar

Kemelut politik tekan Anwar

ANWAR Ibrahim akan mengadakan mesyuarat melibatkan kepemimpinan utama gabungan itu dalam masa terdekat bagi menentukan keperluan mengadakan PRU16 lebih awal jika kemelut politik Kerajaan Perpaduan di Johor dan Negeri Sembilan berterusan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kemelut politik Kerajaan Perpaduan di Johor dan Negeri Sembilan serta krisis dalaman PKR memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh mendorongnya mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) lebih awal.

Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md. Fauzi berkata, perkembangan terbaharu yang menyaksikan dua bekas menteri, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keluar PKR serta mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa menambah tekanan politik kepada kepemimpinan Anwar.

Katanya, langkah dua ‘orang kuat’ PKR itu hadir selepas Kerajaan Perpaduan ditekan dengan isu kedudukan sokongan di Negeri Sembilan dan Barisan Nasional (BN) Johor
mengumumkan bergerak secara solo pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Saya melihat Anwar tertekan kerana krisis dalam PKR apabila Rafizi mengumumkan parti baharu yang menarik teras pengundi sama dengan PKR dan krisis di Negeri Sembilan serta Johor mampu meruntuhkan Kerajaan Madani,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akhbar ini melaporkan, PRU16 mungkin diadakan lebih awal sebagai penyelesaian kemelut politik Kerajaan Perpaduan di Johor dan Negeri Sembilan.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dilaporkan berkata, satu mesyuarat melibatkan kepemimpinan utama gabungan itu akan diadakan dalam masa terdekat bagi membuat keputusan tersebut.

Katanya, gabungan itu tidak gentar dengan ugutan mana-mana pihak, sebaliknya sedia memulangkan hak kepada rakyat untuk memilih kerajaan walaupun tempoh tamat penggal Parlimen Ke-15 adalah sekitar Disember tahun depan.

Sementara itu, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, Perikatan Nasional (PN) akan mengembeleng kekuatan parti-parti gabungannya untuk menyelamatkan negara daripada ketidakpastian polisi Kerajaan Persekutuan.

“Tambahan pelantikan Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang menonjolkan kepemimpinan teknokrat dan harapan anak muda melihat generasi baharu dalam pimpinan politik negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN