Pilihan Raya Datuk Bandar tidak jamin tadbir urus lebih baik

Pilihan Raya Datuk Bandar tidak jamin tadbir urus lebih baik

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan mengadakan Pilihan Raya Datuk Bandar tidak menjamin secara automatik peningkatan penyampaian perkhidmatan atau tadbir urus lebih baik di Kuala Lumpur, sebaliknya berisiko menimbulkan pelbagai masalah governans baharu.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Ahli-ahli Parlimen PN percaya cadangan mengkaji pelaksanaan Pilihan Raya Datuk Bandar sebagai langkah naif, simplistik dan salah arah yang gagal memahami punca sebenar kelemahan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya, usaha membingkaikan pilihan raya Datuk Bandar sebagai penyelesaian induk kepada isu kecekapan dan keberkesanan DBKL mendedahkan kegagalan kerajaan menilai masalah tadbir urus bandar secara menyeluruh. 

“Kecekapan pentadbiran bandar raya tidak ditentukan oleh kaedah pelantikan atau pemilihan Datuk Bandar, sebaliknya bergantung kepada kekuatan institusi, sistem urus tadbir serta budaya pengurusan yang mantap dan berintegriti.

“Cadangan ini mencerminkan pemikiran cetek dan pendekatan populis. Masalah DBKL tidak akan selesai hanya dengan menukar mekanisme pemilihan kepimpinan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Takiyuddin, jika kerajaan benar-benar serius mahu memperbaiki prestasi DBKL, fokus kajian sepatutnya diberikan kepada isu struktur pentadbiran, mutu kepimpinan, pengurusan sumber manusia serta kelemahan koordinasi antara unit dan agensi berkaitan. 

Beliau turut menyelar kegagalan kerajaan memberi keutamaan kepada isu integriti, penguatkuasaan, kejelasan keutamaan dasar serta kelewatan dan ketidakselarasan dalam pembuatan keputusan yang membelenggu DBKL.

“Cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar berpotensi mewujudkan harapan palsu kepada rakyat seolah-olah proses pilihan raya mampu menjadi jalan pintas memperbaiki penyampaian perkhidmatan bandar.

“Ini bukan pembaharuan sebenar, tetapi percubaan mengalihkan perhatian daripada masalah asas DBKL yang masih tidak ditangani,” katanya.

Tambah beliau, langkah itu berisiko menjerumuskan pentadbiran bandar ke dalam kekeliruan dan ketidakcekapan baharu sekiranya isu struktur dan sistem sedia ada terus diabaikan.

“PN menggesa Kementerian Wilayah Persekutuan menghentikan pendekatan simbolik dan mengkaji semula cadangan berkenaan.

“Ia perlu memberi tumpuan kepada reformasi institusi dan pentadbiran yang konkrit, realistik dan berimpak tinggi, bukannya mengheret rakyat ke arah eksperimen politik yang berbahaya dan tidak berpijak di alam nyata,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan sebarang keputusan berkait cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur hanya akan diputuskan selepas hasil kajian diperoleh daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kajian tersebut sedang dijalankan bagi menilai kesesuaian cadangan berkenaan sebelum ia dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk pertimbangan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN