AJK Bersatu Subang, Pasir Salak letak jawatan, keluar parti

AJK Bersatu Subang, Pasir Salak letak jawatan, keluar parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Subang dan Pasir Salak meletak jawatan dan keluar parti itu disebabkan hilang kepercayaan terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Bersatu Subang, Wan Ahmad Shukrie berkata, tindakan itu diambil atas dasar prinsip dan integriti selepas mendapati hala tuju serta keputusan pimpinan tertinggi parti tidak lagi selari dengan mandat dan aspirasi akar umbi.

“Masa depan sesebuah wadah perjuangan politik tidak seharusnya bersandarkan kepada survival kelompok kecil, sebaliknya ia mesti berpaksikan kepada mandat rakyat dan aspirasi akar umbi yang menjadi nadi kekuatan parti.

“Atas dasar prinsip yang tidak boleh dikompromi, kami selaku barisan kepimpinan Jawatankuasa Bersatu Bahagian Subang meletak jawatan secara kolektif daripada semua jawatan yang disandang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain Wan Ahmad Shukri, pemimpin lain dari bahagian itu yang meletak jawatan dan keluar Bersatu ialah Ketua Bahagian, Asyraf Halim; Timbalan, Moh.d Shahril Hashim; Naib Ketua, Iskandar Al Quyyum; Timbalan Pengerusi Tetap, Azhari Yusof dan Bendahari, Adleezan Pakhalan.

Selain itu, Ketua Penerangan; Muhammad ‘Afifurrahman; Ketua Armada, Mohamed Rizwan dan Ketua Sayap Bersekutu, Wong Yong Kang bersama barisan AJK lain.

Menurut Ahmad Shukrie, keputusan kolektif itu diambil dengan berat hati, namun penuh tanggungjawab.

“Apabila visi perjuangan asal mula terhakis, integriti menuntut kami untuk mengundur diri secara terhormat,” katanya.

Dalam pada itu, seluruh AJK Bersatu Bahagian Pasir Salak turut membuat keputusan meletak jawatan serta keluar parti selepas mesyuarat khas bahagian berkenaan semalam.

Kenyataan mengenai keputusan itu dibacakan Pemangku Timbalan Ketua Bahagian, Mohamad Zahid Aman Nauri.

“Kami seluruh AJK Bersatu Bahagian Pasir Salak dengan saya Timbalan Ketua Bahagian selaku Pemangku: Naib Ketua Bahagian, Mohamad Zainal Abidin Saini; Setiausaha Bahagian, Abdul Manaf Saud; Bendahari, Mohamad Aiman Abdul Majid; Ketua Penerangan, Nor Azman Askar meletak jawatan dan keluar parti.

“Turut berbuat demikian ialah Ahli Jawatankuasa, Sazali Ismail; Ahmad Razali Sulamat; Baharudin Osman; Izuddin Isa; Hamdan Rahim; Mohamad Kamil Adnan; Abu Bakar Ismail; Mohd. Ali Sahrum, Prof Shamsul Nahar Abdullah.

“Empat AJK lantikan, iaitu Mohamad Saimi Sulaiman, Najib Mustafa, Nuraini Nadi dan Mohamad Hazir Tayib,” katanya menambah keputusan itu dibuat selepas mesyuarat khas bahagian itu semalam dan mendakwa secara rasminya bahagian Pasir Salak terbubar.

“Tindakan ini dilakukan atas faktor kami hilang kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai Presiden,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN