PETALING JAYA: Tidak perlu bubarkan Pas atau UMNO sebaliknya berlawan secara sihat di pentas demokrasi, kata Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.
Beliau berkata, Pas yang dahulunya sering digambarkan sebagai hanya berada dalam ruang pengaruh pondok dan orang kampung, kini sudah berkembang dengan sokongan meluas khususnya dalam kalangan anak muda dan golongan intelektual.
Katanya, jika dulu Pas dilabel sebagai ‘dagang’ kini menjadi pejuang dan harapan ummah.
Malah, tambahnya, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan kebangkitan apabila Pas memenangi 43 kerusi Parlimen iaitu jumlah terbesar dalam Dewan Rakyat.
“Untuk rekod, berikut pencapaian kerusi Parlimen UMNO sahaja dalam beberapa pilihan raya, PRU 2004 dengan 109 kerusi; PRU 2008 (79 kerusi); PRU 2013 (88 kerusi); PRU 2018 (54 kerusi) dan PRU 2022 (26 kerusi).
“Trend itu jelas. UMNO berada di puncak pada PRU 2004 dan kemudian menurun secara berperingkat sehingga hanya 26 kerusi pada PRU15,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.
Hantaran itu ditujukan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi susulan ucapannya pada Majlis Perasmian Penutup Multaqa Ilmuan Islam Malaysia secara berseloroh berharap Pas akan terbubar selepas UMNO meminda Perlembagaannya dengan meletakkan Islam sebagai asas parti.
Ahmad Zahid mengimbau kenyataan Mursyidul Am Pas, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang didakwanya pernah berkata: “UMNO jika satu ketika nanti meletakkan asas Islam dalam Perlembagaannya maka Pas akan dibubarkan.”
Beliau juga menyifatkan kenyataan Nik Aziz itu sebagai wasiat sehingga membawa kepada pindaan Perlembagaan UMNO pada tahun 2019 sebaik beliau mengambil alih tampuk kepemimpinan.
Idris yang juga Pesuruhjaya Pas Perak berkata, beliau tidak berniat untuk bersikap kasar terhadap UMNO kerana masih ramai akar umbi parti itu yang ikhlas dan berminat bersama Pas dalam perjuangan perpaduan ummah.
Namun, katanya, beliau hairan apabila Ahmad Zahid menyatakan UMNO bersedia mengundang Pas untuk bergabung dalam sebuah organisasi yang memfokuskan agenda Islam di luar politik dan cadangan itu pula diluluskan dalam Jemaah Menteri.
“Aik, biar betul? Sejak bila agenda politik kepartian perlu mendapat kelulusan Kabinet? Lebih menarik, UMNO yang mempunyai kekuatan keahlian sekitar 3.5 juta orang, kenapa agenda politiknya sebagai “abang long” perlu meminta izin Kabinet?
“Tambahan pula, Kabinet tersebut dianggotai Menteri-Menteri DAP. Ahli UMNO sendiri tentu faham bagaimana pandangan DAP terhadap UMNO dan agenda Islam. Tahu sama tahu lah.
“Pas pula kekal dengan prinsipnya, berjuang di pentas demokrasi, bercakap soal Islam tanpa perlu kelulusan sesiapa dan menyerahkan penilaian akhir kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










