Malaysia tidak boleh berfungsi tanpa UMNO

Malaysia tidak boleh berfungsi tanpa UMNO

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO akan memastikan tiada kerajaan dapat ditubuhkan tanpa penglibatan parti itu sebagai sebahagian daripada pentadbiran negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO tidak akan menjadi boneka politik kepada mana-mana pihak dan perlu disokong supaya dapat berdiri sebagai entiti politik Melayu yang mandiri dan berprinsip.

Beliau berkata, UMNO hanya mampu kembali pulih dan muncul sebagai sebuah parti Melayu yang kuat sekiranya kepercayaan orang Melayu terhadap parti itu dapat diperkukuhkan semula.

“Hanya apabila orang Melayu kembali mempercayai UMNO, barulah kita dapat berprestasi dengan lebih baik dalam kerajaan. UMNO perlu disokong supaya berdiri di atas kaki sendiri, membina kekuatan tersendiri dan tidak bergantung kepada sesiapa.

“Dengan kepercayaan orang Melayu, UMNO akan kembali dominan atau sekurang-kurangnya menjadi kingmaker yang mampu mengubah rentak permainan politik Malaysia.

“Kita perlu pastikan tiada kerajaan boleh dibentuk tanpa UMNO sebagai sebahagian daripadanya. Sesiapa sahaja yang mahu mentadbir negara akan memerlukan UMNO untuk mengurus Malaysia,” katanya dalam sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2025 di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, UMNO diyakini mampu kembali memainkan peranan dominan dalam landskap politik negara sekiranya kepercayaan bangsa Melayu dan rakyat berjaya dipulihkan terhadap perjuangan parti berkenaan.

Beliau berkata, UMNO tidak harus dilihat sebagai parti yang sekadar menumpang kekuatan pihak lain, sebaliknya menjadi rakan politik strategik dalam apa jua bentuk kerjasama demi memastikan kestabilan dan pembentukan kerajaan yang berfungsi dengan baik.

Tambahnya, realiti politik semasa menunjukkan bahawa mana-mana pihak yang berhasrat membentuk kerajaan memerlukan UMNO sebagai rakan penting dalam mengurus dan mentadbir negara.

“UMNO akan terus menjadi rakan seperjuangan dan teman berpadu dalam memastikan Malaysia ditadbir secara stabil, berprinsip dan berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN