PRN Melaka perlu diumum enam bulan lebih awal

PRN Melaka perlu diumum enam bulan lebih awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tarikh pembubaran awal Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka perlu ditetapkan secepat mungkin bagi memastikan momentum Barisan Nasional (BN) yang mengetuai kerajaan negeri itu tidak terjejas.

Saintis politik Universiti Sunway, Prof. Dr. Wong Chin Huat berkata, pembubaran awal DUN Melaka sebaik-baiknya diumumkan enam bulan lebih awal untuk membolehkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengumumkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal agar semua penguatkuasa dan petugas yang akan terlibat membuat persiapan.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Wong Chin Huat juga berpandangan, PRN Melaka sebaik-baiknya perlu diumumkan enam bulan lebih awal untuk membolehkan semua penguatkuasa dan petugas yang akan terlibat membuat persiapan.

Selain itu, ia juga memberi ruang untuk pengundi menyesuaikan jadual mereka untuk pulang mengundi.

“Amalan Malaysia selama ini yang kerajaan enggan menghabiskan penggal dan enggan mengumumkan tarikh pembubaran awal terlebih dahulu amat kolot dan tidak profesional.

“Kelebihan BN dari dahulu ialah kestabilan, keupayaan untuk mengumumkan terlebih awal tarikh pembubaran awal akan menghantar isyarat keyakinan dan profesional BN Melaka.

“Selepas pengumuman Ahmad Zahid yang berikan jurang lapan bulan, Ketua Menteri Melaka, Ab. Rauf Yusoh harus cepat menetapkan tarikh,” katanya.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN membayangkan PRN Melaka akan diadakan dalam tempoh dua hingga 10 bulan tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pemimpin UMNO Melaka yang diterajui Ab. Rauf perlu mempertahankan 21 daripada 28 kerusi yang dimenangi pada PRN yang lalu.

Sebelum ini PRN Melaka telah dilaksanakan pada 20 November 2021 dan penggal pentadbiran Melaka akan berakhir pada 26 Disember tahun ini.

Sementara itu, Chin Huat berkata, UMNO perlu mengekalkan identiti parti dan membezakan diri dari parti politik Melayu lain untuk memastikan kemenangan mereka dalam PRN Melaka.

Katanya, Perikatan Nasional (PN) berpeluang untuk memenangi Melaka sekiranya UMNO tidak dapat membezakan dirinya daripada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kata beliau, UMNO tidak boleh kehilangan jati diri mereka kerana idea kolaborasi agung yang dicadangkan Ahmad Zahid.

“Tiada salah parti-parti nasionalis bersaing sesama lain, kalau tiga adik-beradik bersaing untuk memikat hati seorang gadis, itu persaingan selagi tidak bermain kotor, bukan perpecahan.

“Kalau UMNO kurang keyakinan menghadapi Pas, ketewasan yang ditakuti akan menjadi hakiki nanti. Ini dipanggil ramalan yang sendiri menghakikikan atau self-fulfilling prophecy,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd Zain berkata, PN setakat ini tidak menunjukkan potensi mereka untuk merampas Melaka berikutan keretakan yang ditunjukkan antara Pas dan Bersatu.

Beliau berkata, keretakan tersebut memberi kelebihan kepada BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Melaka kelak.

Malah, katanya, persefahaman antara UMNO dan DAP juga perlu ditekankan memandangkan dua parti itu akan bekerjasama di bawah payung Kerajaan Perpaduan.

“UMNO dan DAP tidak bersaing di kerusi yang sama, jadi pertembungan antara mereka di kawasan tertentu itu tidak sangat berlaku tetapi dalam PRN Melaka ini, persefahaman yang perlu ditekankan adalah antara dua parti itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN