MELAKA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membayangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan dalam tempoh dua hingga 10 bulan tahun ini.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pemimpin UMNO Melaka yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh perlu mempertahankan 21 daripada 28 kerusi yang dimenangi pada PRN yang lalu.
“Saya sering mengingatkan diri saya untuk memperoleh kejayaan itu sukar tetapi untuk mempertahankan kejayaan itu lebih menyukarkan.
“Saya ingatkan kawan-kawan di Melaka sekarang ini tugas kita adalah untuk mempertahankan kejayaan dan saya tidak mahu kesukaran ini melebihi daripada kesukaran yang pernah kita hadapi dalam pilihan raya negeri yang lalu.
“Setakat ini saya lihat prestasi Ab. Rauf adalah yang terbaik menerajui Melaka dengan pelbagai inisiatif telah diambil untuk memajukan negeri ini,” ujarnya sewaktu berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, semalam.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid memberi tiga pesanan kepada wakil rakyat BN di Melaka iaitu perkhidmatan kepada rakyat wajar diteruskan sehingga pembubaran DUN.
“Pemimpin UMNO turut diminta tidak melakukan kesilapan kerana kesilapan itulah yang akan membasahkan bumi dan hilanglah kepanasan sepanjang tahun,” ujarnya.
Selain itu katanya, mereka perlu menyimpan sifat marah dan tidak cepat melenting serta menebalkan telinga daripada mendengar pelbagai cemuhan dan kritikan yang dilemparkan.
Ahmad Zahid berkata, rakyat kini mudah dipengaruhi dengan media sosial di hujung jari yang tidak lagi berbentuk konvensional.
“Orang melihat dari segi lahiriah, dari segi fizikal mereka menghargai tetapi kadang-kadang jangan harap mereka akan memberikan dukungan kepada kita sebab banyak tomahan yang hanya di hujung jari,” ujarnya.
Katanya, sekarang ini banyak fitnah yang boleh masuk ke minda daripada hujung jari menggunakan telefon pintar berbanding dulu dengan adanya media konvensional seperti media elektronik, TV, radio, media cetak atau majalah.
Ditanya mengenai konsep Rumah Bangsa yang mungkin digunakan pada PRN Melaka, beliau berkata, beliau akan berbincang dengan Ab. Rauf selepas Ketua Menteri pulang dari China nanti.
“Kita akan perincikan apakah metodologi yang akan dilakukan untuk terjemahkan Rumah Bangsa dalam konteks PRN Melaka nanti,” katanya. – UTUSAN










