PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat bersidang kepada semua pimpinan dan perwakilan sempena Perhimpunan Agung UMNO yang bermula hari ini.
Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, dalam landskap politik dan ekonomi yang kian mencabar, kekuatan sebenar tidak lahir daripada perbezaan yang terus dipicu.
Sebaliknya, beliau berkata, kekuatan sebenar lahir daripada kesepaduan yang diperkukuh, kebijaksanaan yang diraikan, serta iltizam bersama untuk mendahulukan kepentingan rakyat dan negara.
“Malaysia memerlukan politik yang matang, berteraskan muafakat, saling menghormati dan keupayaan untuk bekerja bersama demi kestabilan, kemakmuran serta masa depan yang lebih adil dan inklusif buat seluruh rakyat.
“Semoga persidangan kali ini berlangsung dengan tertib, penuh wacana yang bernas yang berpaksi pada rakyat, serta menyumbang kepada pengukuhan perpaduan nasional demi sebuah Malaysia yang madani,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar sebelum menubuhkan PKR pernah memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO namun dipecat pada tahun 1998.
Perhimpunan Agung UMNO 2025 diadakan bermula hari ini hingga Sabtu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, selepas ditangguhkan dua kali pada Ogos dan November tahun lalu bagi memberi laluan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17. – UTUSAN










