KUALA LUMPUR: Jentera pilihan raya UMNO perlu dipersiapkan dengan pelbagai ilmu dan bukan sekadar tangkap muat.
Perwakilan Wanita UMNO Kelantan, Norfazdlete Aryani Mohd Rosli berkata, jentera parti digerakkan tanpa ilmu disifatkan sebagai ‘pelancong pilihan raya’ dan tidak membantu kemenangan parti, lantaran mereka tidak maklum tentang hal ehwal parti mahupun pendirian dalam sesuatu isu.
“Cukuplah wanita berhadapan dengan jentera tangkap muat apabila diarahkan melaksanakan tugas, mereka gagal melaksanakan dengan baik, gagal memberi makluman berkaitan parti, gagal menjawab persoalan dibangkitkan, seterusnya gagal menarik sokongan pengundi.
“Kita tidak mahu lagi ada istilah pelancong pilihan raya,” katanya ketika berucap membahaskan Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Beliau berkata, UMNO memerlukan pasukan khusus yang dipersiapkan dengan kepakaran, maklumat dan imbuhan khas, serta diberi latihan secara berkala, untuk menghadapi pilihan raya.
“Sayap juga perlu diberi tanggungjawab untuk membentuk dan mengurus sepenuhnya gerak kerja tanpa campur tangan mana-mana pihak,” katanya.
Norfazdlete berkata, gerak kerja Wanita tidak boleh bermula hanya apabila pilihan raya makin hampir.
“Ia mesti disusun lebih awal, dirancang dengan teliti dan digerakkan secara berterusan,” katanya. – UTUSAN










