BN perlu terima parti Friends of Barisan Nasional 

BN perlu terima parti Friends of Barisan Nasional 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu membuka keahlian terbuka kepada semua pihak termasuk parti Friends of Barisan Nasional untuk menjadi anggota parti gabungan.

Ketua Bahagian UMNO Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, Dewan Tertinggi BN kena meminda Fasal 6 dan Fasal 13 Perlembagaan gabungan itu yang dilihat menjadi halangan kepada parti-parti Friends of Barisan Nasional untuk diterima sebagai anggota gabungan.

Katanya, perkara itu sejajar cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar penjenamaan semula BN dilakukan dalam kerangka kerjasama politik, antaranya dengan mengkaji semula bentuk gabungan politik dalam Barisan Nasional.

“Sudah tiba masanya konsensus sebulat suara yang menjadi penghalang kepada pembaharuan gabungan politik dalam BN diubah kepada suara majoriti agar Barisan Nasional dapat diberikan nafas baharu dan kekuatan rakan setia politik dapat dirangkul dalam membina kekuatan baharu,” katanya dalam perbahasan Ucapan Dasar Presiden UMNO di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, seluruh perwakilan diajak menghayati iktibar yang disedari oleh kepimpinan UMNO Johor pasca Pilihan Raya Negeri yang lalu, khususnya dalam mendepani cabaran awal pembentukan kerajaan negeri.

Katanya, walaupun pada peringkat awal wujud keraguan terhadap kemampuan seorang pemimpin muda menerajui pentadbiran negeri, tempoh masa yang diambil untuk menyusun struktur kerajaan serta memperkemas perjalanan parti akhirnya membuahkan hasil.

“Kepercayaan dan mandat yang diberikan oleh kesemua 26 Ketua UMNO Bahagian serta seluruh kepimpinan UMNO Johor telah menterjemahkan keyakinan terhadap kestabilan politik negeri.

“Kestabilan itu seterusnya membolehkan pelbagai manfaat disalurkan kepada rakyat Johor, sekali gus membuktikan bahawa kesepaduan kepimpinan dan akar umbi adalah kunci utama kejayaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN