Pinda perlembagaan, tidak perlu PRK jika ada kekosongan kerusi

Pinda perlembagaan, tidak perlu PRK jika ada kekosongan kerusi

IDZUAFI HADI KAMILAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dicadang meminda Perlembagaan bagi membolehkan pelantikan pengganti dibuat secara automatik sekiranya berlaku kekosongan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) disebabkan kematian atau peletakan jawatan penyandang.

Langkah itu dapat menyelamatkan berjuta wang negara semata-mata untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan kos antara RM1 juta hingga RM4 juta.

Sejak 2022, negara telah mengadakan 13 PRK dengan kos sebanyak RM30 juta.

Berdasarkan rekod rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PRK Pulai pada 2023 mencatatkan perbelanjaan tertinggi sebanyak RM4.5 juta, diikuti PRK Kemaman (2023) sebanyak RM3.5 juta dan PRK Tioman (2022), RM3 juta.

SPR sekali lagi akan mengadakan PRK bagi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamaq pada 24 Januari 2026, susulan kematian Datuk Seri Bung Moktar Radin, 5 Disember lalu.

Bekas Pengarah Eksekutif, Institut Reformasi Politik & Demokrasi (Reform), Idzuafi Hadi Kamilan berkata, pemansuhan PRK mampu menjimatkan kos perbelanjaan yang tinggi kerana dana tersebut dapat disalurkan kepada sektor lebih penting.

Beliau berkata, perbelanjaan sekitar RM30 juta itu sewajarnya disalurkan kepada sektor pendidikan, kesihatan atau pembangunan pendidikan demokrasi khususnya melibatkan pengundi muda berusia 18 tahun.

Pada masa sama, jelasnya, langkah pemansuhan itu juga dapat mengurangkan tekanan terhadap parti politik serta menangani isu ketidakseimbangan dalam pendanaan politik.

“Sehingga kini, ketidakseimbangan ketara masih wujud dalam aspek pendanaan parti politik, apabila parti pemerintah cenderung menggunakan jentera kerajaan semasa tempoh berkempen. Malah, menteri-menteri turut turun padang dan memberi tumpuan sepenuhnya di kawasan PRK ketika kempen berlangsung,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Cadangan sama pernah disuarakan bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang mahu kerajaan mengkaji semula keperluan mengadakan PRK bagi mengisi kekosongan luar jangka susulan kematian penyandang.

Katanya, Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan (kekosongan luar jangka) wajar dibuat sedikit pindaan dengan mewujudkan satu peruntukan khas berkaitan ketetapan itu, sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan negara.

Idzuafi menjelaskan, langkah pertama untuk pemansuhan itu memerlukan pindaan terhadap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan atau Undang-Undang Tubuh Negeri.

“Proses pindaan bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan masa. Kajian perbandingan dengan sistem pilihan raya negara lain juga perlu dibuat, di samping mengenal pasti undang-undang lain yang mungkin perlu dipinda bersama, seperti Akta Pilihan Raya dan Akta SPR,” katanya.

Antara mekanisme yang dicadangkan termasuk pelantikan pengganti secara automatik sekiranya berlaku kekosongan kerusi Parlimen atau DUN disebabkan kematian atau peletakan jawatan.

Jelasnya, Speaker Parlimen atau DUN akan memaklumkan kepada Presiden parti untuk menamakan pengganti, yang kemudiannya dipilih melalui kaedah dalaman parti seperti Mesyuarat Majlis Tertinggi.

“Paling penting, peruntukan undang-undang perlu jelas menyatakan pengganti mestilah datang daripada parti politik yang sama memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya terdahulu, walaupun hanya berbeza satu undi majoriti sahaja,” katanya.

Mengulas cadangan itu bercanggah dengan prinsip demokrasi, Idzuafi berkata, demokrasi yang matang harus menitikberatkan kecekapan pengurusan sumber, keadilan dan kesamarataan peluang antara parti politik.

“Jika matlamatnya untuk menjimatkan perbelanjaan negara dan mengelakkan ketidakseimbangan dalam kempen politik, maka cadangan ini selari dengan semangat reformasi demokrasi yang sebenar,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, New Zealand dan Jerman menggunakan Sistem Perwakilan Berkadar Campuran (Mixed-Member Proportional Representation) dalam sistem pilihan raya masing-masing.

Sistem tersebut menggabungkan elemen sistem majoriti dan perwakilan berkadar bagi memastikan komposisi Parlimen lebih seimbang dengan peratusan undi yang diperoleh oleh parti politik.

Dalam sistem ini, pengundi diberikan dua undi, iaitu satu untuk memilih calon kawasan dan satu lagi untuk parti.

Dalam konteks penggantian kerusi secara automatik, katanya, Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, selepas menerima makluman mengenai kekosongan kerusi, perlu memaklumkan perkara tersebut kepada Presiden parti politik yang memenangi kerusi berkenaan bagi tujuan pencalonan pengganti.

“Kaedah pemilihan calon pengganti diserahkan kepada mekanisme dalaman parti politik, sama ada melalui undian secara demokratik atau keputusan mesyuarat kepemimpinan tertinggi parti.

“Paling penting, peruntukan undang-undang perlu menyatakan dengan jelas pengisian kerusi tersebut mestilah daripada parti politik yang memenangi pilihan raya asal, selaras dengan prinsip mandat pengundi,” katanya. – UTUSAN

INFOGRAFIK

Senarai kos perbelanjaan 13 PRK selepas PRU15 berdasarkan rekod rasmi SPR:

1. PRK Padang Serai 2022 – RM1.6 juta

2. PRK Tioman 2022 – RM3 juta

3. PRK Kuala Terengganu 2023 – RM465 ribu

4. PRK Simpang Jeram 2023 – RM1.5 juta

5. PRK Pulai 2023 – RM4.5 juta

6. PRK Pelangai 2023 – RM2.1 juta

7. PRK Jepak 2023 – RM2.0 juta

8. PRK Kemaman 2023 – RM3.5 juta

9. PRK Kuala Kubu Bharu 2024 – RM2.5 juta

10. PRK Sungai Bakap 2024 – RM2.1 juta

11. PRK Nenggiri 2024 – RM1.6 juta

12. PRK Mahkota 2024 – RM2.4 juta

13. PRK Ayer Kuning 2025 – RM2.5 juta

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN