Kemelut bekas MB Perlis: Pas Pusat perlu tahu perkara sebenar

Kemelut bekas MB Perlis: Pas Pusat perlu tahu perkara sebenar

AHMAD ADNAN FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kemelut politik di Perlis yang menyaksikan Mohd. Shukri Ramli meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar perlu dijelaskan kepada kepemimpinan Pas pusat mengenai apa sebenarnya yang berlaku

Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Ahmad Adnan Fadzil berkata, di dalam politik, kelicikan semata-mata tidak menjamin kelangsungan sebaliknya kejujuran sebenarnya senjata untuk bertahan.

Katanya, ia termasuk kejujuran dalam menyampaikan apa yang sebenarnya kepada pimpinan tertinggi, agar keputusan yang dibuat itu benar-benar tepat dan adil.

“Jika prinsip ini dipelihara, tidak akan berlaku apa yang sedang kita saksikan hari ini. Semoga kita semua menginsafi kesalahan diri dan memperbaikinya,” katanya di sini semalam.

Ahmad Adnan juga mengingatkan agar Pas menerima kesilapan yang berlaku dan membetulkannya, namun tidak menjelaskan apa kesilapan yang dimaksudkannya itu.

“Tuanku Raja (Raja Perlis) bukan tidak hormati kita, tetapi ingin kita menyedari bahawa baginda juga ada kuasa mesti dihormati. Kita perlu terima kesilapan kita dan membetulkannya,” katanya.

Kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis baharu menggantikan Mohd. Shukri yang meletak jawatan.

Krisis politik Perlis meletus selepas lapan ADUN termasuk tiga dari Pas menandatangani akuan bersumpah menyatakan penolakan sokongan terhadap Mohd. Shukri.

Susulan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Chuping, Bintong dan Guar Sanji selepas tiga ADUN tersebut terhenti keahlian Pas.

Sebelum itu, Dewan Ulama Pas negeri menyifatkan tiga ADUN Pas yang digugurkan keahlian parti ekoran tindakan menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri tidak mengkhianati parti.

Kata Ahmad Adnan, kesemua pemimpin berkenaan termasuk Mohd. Shukri adalah mereka cukup setia di dalam perjuangan Pas.

Ketua Dewan Muslimat Pas negeri, Husna Hashim pula berkata, semua ahli dan pemimpin perlu mengekalkan keharmonian ketika berdepan situasi panas politik Perlis ketika ini.

“Jangan ada antara kita yang mengamalkan politik agresif dan negatif dengan saling melabelkan sesama kita yang boleh mengundang pergaduhan.

“Cuba cari jalan pendamaian yang boleh menyatukan semua pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN