Kembalikan GST mimpi ngeri pembayar cukai

Kembalikan GST mimpi ngeri pembayar cukai

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasrat Barisan Nasional (BN) untuk mengembalikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) merupakan mimpi ngeri kepada pembayar cukai di negara ini.

Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi gagal merujuk kelemahan terbesar pelaksanaan GST iaitu kegagalan membayar balik bayaran cukai itu yang sepatutnya dibayar.

Guan Eng mempersoalkan sama ada Timbalan Perdana Menteri itu boleh memastikan bahawa mimpi ngeri pembayar cukai akibat kegagalan bayaran balik GST berjumlah RM30 bilion sejak ia diperkenalkan pada 2015 hingga 2018 tidak berulang.

“GST merupakan cukai penggunaan yang cekap dan adil kepada semua kerana ia memerlukan bayaran balik cukai input bagi mengelakkan cukai berganda. Malangnya, Kerajaan BN pada ketika itu gagal membuat bayaran balik seperti yang diwajibkan oleh undang-undang,

“Sehinggakan jumlah tunggakan mencecah lebih RM30 bilion dalam tempoh hanya tiga tahun. Jumlah bayaran balik GST yang besar ini menjadi beban berat kepada perniagaan, bukan sahaja menjejaskan aliran tunai mereka malah mengancam kelangsungan operasi perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, BN akan memperjuangkan pelaksanaan GST selepas PRU16 memandangkan ia merupakan sistem cukai terbaik dan wajib dikembalikan untuk dilaksanakan di negara ini.

Presiden UMNO itu berkata, pada masa ini, BN memberi peluang kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sedia ada diteruskan buat sementara waktu.

Guan Eng berkata, bayaran balik GST berjumlah RM30 bilion itu hanya dipulangkan kepada pembayar cukai oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2019.

Guan Eng mendakwa, di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih kerajaan pada 2020 pula tidak memulangkan lebihan cukai yang dibayar oleh perniagaan sehingga mencecah puluhan bilion ringgit.

Katanya, perniagaan masih belum menerima bayaran balik lebihan cukai bagi setiap tahun taksiran sejak 2020.

“Sekali lagi, seperti lebihan cukai input di bawah GST, lebihan cukai yang dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan dan digunakan serta dibelanjakan terlebih dahulu oleh kerajaan.

“Keadaan ini telah mengakibatkan mimpi ngeri berterusan kepada perniagaan yang tidak menerima bayaran balik lebihan cukai mereka setiap tahun sepanjang lima tahun yang lalu sejak 2020,” katanya.

Guan Eng berkata, kerajaan perlu mula membayar balik sebahagian daripada yang belum dipulangkan oleh LHDN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN