SABAK BERNAM: Kedudukan parti komponen Barisan Nasional (BN), MIC akan dirujuk ke Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Januari depan.
Keputusan sama ada kekal atau sebaliknya akan ditentukan dalam mesyuarat yang turut dianggotai kepemimpinan MIC susulan parti itu sebelum ini memaklumkan berhasrat untuk keluar daripada gabungan berkenaan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia akan ditentukan secara kolektif menerusi perbincangan dalam mesyuarat itu nanti.
“Jadi kita akan ada mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional pada Januari tahun depan dan ketika itu kita akan putuskan,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Jelasnya, bagaimanapun pertembungan MIC itu tiada kaitan dengan UMNO dan ia tidak akan ditentukan penyelesaiannya melalui Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang juga berlangsung pada Januari depan.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memberitahu beliau memberi kebebasan kepada perwakilan dari Sabah yang sudah membuat persiapan perjalanan untuk menghadiri PAU 2025 atau membantu kempen Pilihan Raya 2uKecil (PRK) Kinabatangan dan Lamag.
Beliau berkata, bagaimanapun perhimpunan tersebut juga akan disiarkan secara langsung di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Sabah di Kota Kinabalu bagi membolehkan perwakilan yang berkempen juga mengikuti perjalanan PAU 2025 nanti.
“Saya sudah meminta agar perwakilan-perwakilan dan sahabat untuk membantu PRK di Kinabatangan dan Lamag. Namun jika mereka sudah membeli tiket dan menempah bilik, kita tidak menghalang untuk mereka hadir,” ujarnya. – UTUSAN










