Wanita wajar terajui jawatan utama perkhidmatan awam

Wanita wajar terajui jawatan utama perkhidmatan awam – Aiman Athirah

Wanita perkhidmatan awam
AIMAN Athirah Sabu berucap dalam Pidato Ketua Wanita pada Konvensyen Nasional Angkatan Wanita Amanah Negara 2025 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Wanita wajar diberi peluang menerajui jawatan utama dalam perkhidmatan awam seperti Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Ketua Perbendaharaan Negara.

Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan pelantikan wanita ke jawatan tersebut sebagai pengiktirafan terhadap keupayaan serta sumbangan golongan itu terhadap pembangunan negara.

Menurutnya, wanita wajar diberi peluang untuk memegang jawatan strategik dalam pentadbiran tertinggi kerajaan.

“Tiga jawatan tertinggi itu KSN, KPPA dan Ketua Perbendaharaan Negara, belum pernah diisi oleh wanita. Sudah sampai waktunya kerajaan memberi ruang kepada pegawai wanita berwibawa untuk memegang peranan tersebut,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Konvensyen Angkatan Wanita Amanah (Awan) Kebangsaan 2025, hari ini.

Aiman Athirah menegaskan kehadiran wanita dalam kedudukan pembuat dasar bukan sekadar menambah kepelbagaian pandangan, tetapi memperkukuh struktur demokrasi dan tadbir urus negara.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkasakan wanita dalam politik dan dasar awam, termasuk memastikan pelaksanaan kuota minimum penyertaan wanita di semua peringkat, daripada parti, kerajaan tempatan, hingga ke Parlimen.

“Kita mahu wanita bukan sekadar pengisi kuota, tetapi pemimpin yang menyumbang kepada pembentukan dasar dan keputusan penting negara. Ramai wanita berkelayakan dan berwibawa, maka wajar mereka diberi peranan strategik, bukan sekadar simbolik,” ujarnya.

Jelas Ahli Parlimen Sepang itu, wanita sudah pun menunjukkan kemampuan dalam pembangunan negara moden termasuklah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang aktif dalam kegiatan sosial dan kesihatan awam, Tan Sri Rafidah Aziz sebagai tokoh wanita paling berpengaruh serta bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Perubahan terbesar apabila Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri. Wanita pertama yang memegang jawatan kedua tertinggi dalam pentadbiran negara,” tambahnya.

Aiman Athirah turut menyeru agar undang-undang berkaitan gangguan seksual, diskriminasi di tempat kerja serta dasar mesra keluarga seperti waktu kerja fleksibel dan cuti bersalin diperkuat bagi membantu wanita kekal aktif dalam dunia pekerjaan.

“Perjuangan kesaksamaan gender bukan hanya isu wanita, tetapi tanggungjawab bersama dalam membina negara yang adil, inklusif dan progresif.

“Kesaksamaan bukan untuk mengambil kuasa lelaki, tetapi mengembalikan keseimbangan dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN