SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentukan mana-mana portfolio ekoran desas-desus rombakan Kabinet dalam masa terdekat.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya terbuka untuk ditukarkan ke portfolio lain kerana keputusan tersebut merupakan hak Perdana Menteri.
Katanya, beliau optimis mengenai perkara itu, malah pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) lain sentiasa komited menjalankan tugas di mana-mana portfolio yang diletakkan.
“Amanah sedia dimana-mana sahaja. Itu semua tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Nasional Amanah 2025 di sini, hari ini bagi menjawab pendirian Amanah terhadap khabar rombakan kabinet.
Selain Mohamad di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Amanah mempunyai seorang lagi Menteri, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di Kementerian Kesihatan.
Sementara dua lagi iaitu Datuk Aiman Athirah merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Adly Zahari yang merupakan Timbalan Menteri Pertahanan.
Ketika ditanya adakah Amanah akan mendapat pertambahan portfolio dalam kabinet, Mohamad turut berkata, ia juga terpulang kepada penilaian Perdana Menteri.
“Untuk kabinet ni adalah hak Pendan Menteri. Itu prerogatif Perdana Menteri. Dia boleh ambil orang politik, orang profesional, atau orang dalam parti atau luar parti. Itu terserah kepada Perdana Menteri,” katanya.
Mohamad turut memaklumkan setakat ini tiada perbincangan dirinya dengan Perdana Menteri mengenai isu rombakan kabinet.
“Setakat ini belum sebab Perdana Menteri nak kuatkan kabinetnya,” katanya.
Katanya, apa pun perubahan yang berlaku susulan rombakan kabinet dalam masa terdekat, fokus utamanya perlu diletakkan terhadap pengukuhan jentera dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Rombakan Kabinet dipercayai akan berlalu dalam masa terdekat susulan tempoh beberapa ahli Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri berstatus Senator bakal menamatkan penggal mereka bulan depan. – UTUSAN










