PILIHAN Raya Negeri (PRN) Terengganu akan datang bakal menyaksikan sejumlah 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi rebutan, berbanding 32 kerusi yang dipertanding sejak lebih 40 tahun lalu.
Ia berikutan usaha DUN Terengganu menambah sembilan kerusi lagi yang mana Usul Pelaksanaan Kajian Semula atau Pindaan Persempadanan Kawasan dan Pertambahan Kerusi bagi DUN di Negeri Terengganu diluluskan semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 (Baje), minggu lalu.
Dalam usul itu, pertambahan sembilan kerusi DUN Negeri Terengganu disebut, namun belum diperincikan dan dijangka dikemukakan dalam persidangan akan datang.
Pertambahan kerusi ini boleh menjadi realiti jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat menyiapkan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya lebih awal dengan cadangan kajian berkenaan mendapat sokongan dua pertiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Sokongan dua pertiga ADUN Terengganu tiada masalah kerana semua wakil rakyat mereka adalah dari Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN). Tiada siapa boleh membantah jika semua 32 ADUN PN sekarang sepakat menyokong kelulusannnya sebelum diwarta sebagai kawasan pilihan raya yang sah pada penggal seterusnya.
Ketika ini, Bilangan Pilihan Raya Persekutuan atau kawasan Parlimen bagi Terengganu adalah sebanyak lapan bahagian manakala Bahagian Pilihan Raya Negeri (DUN) pula sebanyak 32 bahagian.
Jumlah tersebut diperuntukkan semasa urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya Kali Ketiga yang dijalankan pada 1984. Parlimen Marang diperkenal sekali gus menjadikan tambahan empat lagi kerusi DUN berbanding 28 kerusi sebelum itu.
Difahamkan, usul terbaharu ini menyaksikan setiap Parlimen mendapat satu tambahan kerusi kecuali Kuala Terengganu diberikan dua DUN.
Setakat ini, tiada mana-mana pemimpin atau wakil rakyat Terengganu yang memperincikan keperluan menambah sembilan lagi kerusi DUN. Lazimnya, ia dibuat bagi mengimbangi pertambahan populasi penduduk. Terengganu kini dianggarkan diduduki 1.23 juta orang. Kadar populasi itu meningkat sebanyak 31.6 peratus daripada 936,000 penduduk pada 2002. Jumlah penduduk pada 1985 pula, iaitu selepas tahun terakhir pertambahan kerusi dibuat adalah sekitar 535,000 orang.
Jika hasrat sebenar adalah untuk menyamaratakan bilangan pengundi di DUN-DUN, usaha pelaksanaan penambahan kerusi DUN sukar dielakkan pada masa ini susulan berlaku pertambahan mendadak jumlah pengundi. Selain itu, ia memberi ruang kepada wakil-wakil rakyat untuk memberi khidmat yang lebih baik dan efisien kepada rakyat.
Pertambahan sembilan kerusi DUN bukanlah angka yang kecil. DUN Terengganu, wakil rakyat dan pengundi bertanggungjawab memastikan keputusan itu benar-benar menyuburkan amalan demokrasi dengan akhirnya manfaat dapat dinikmati oleh rakyat. – UTUSAN










