Pengundi Sabah tidak termakan umpan politik

Pengundi Sabah tidak termakan umpan politik

MOHD. MOKHTAR AZFAR ABDUL HADI dan NIZAH ALIAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak mudah mudah dipengaruhi oleh sebarang bentuk habuan politik yang cuba ditaburkan sepanjang tempoh kempen mana-mana parti.

Meskipun pelbagai tawaran, janji dan imbuhan diumumkan untuk memancing sokongan, majoriti pengundi khususnya di kawasan bandar dan luar bandar kini lebih berminat menilai rekod serta kredibiliti calon berbanding godaan jangka pendek yang tidak menjamin masa depan mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia sepanjang kempen mendapati pengundi lebih kritikal dalam menilai kemampuan calon menyelesaikan isu setempat, termasuk masalah yang sudah bertahun-tahun tidak diberi perhatian.

Di beberapa kawasan, pengundi turut menyatakan secara terbuka bahawa mereka enggan lagi digula-gulakan dengan janji kosong yang hanya muncul ketika pilihan raya, malah sebahagiannya menyifatkan strategi habuan politik sebagai taktik lama semakin hilang keberkesanannya dalam era politik moden menuntut ketelusan.

Seorang pengundi muda, Ammar Sapie, 27, menegaskan bahawa generasi baharu tidak lagi memandang nilai material sebagai faktor menentukan undi.

Katanya, pengalaman PRN lalu juga memberi pengajaran penting bahawa undi yang diberikan perlu membawa manfaat sebenar kepada rakyat, bukan sekadar meriah ketika kempen tetapi hilang selepas keputusan diumumkan.

“Zaman sekarang orang sudah boleh menilai sendiri. Kami tengok rekod kerja, bukan sampul atau barangan. Sebab kalau dapat RM50 atau RM100, itu hilang dalam sehari. Tapi kesan salah pilih pemimpin, kami tanggung lima tahun,” katanya.

Dia berkata, kebanyakan rakan sebayanya mahu melihat calon yang menawarkan penyelesaian jangka panjang seperti peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran dan hala tuju ekonomi yang lebih kukuh.

Seorang lagi pengundi muda, Mohd. Mokhtar Azfar Abdul Hadi, 21, berkata, generasinya sudah jemu dengan gaya politik yang hanya kelihatan ketika kempen.

“Kami boleh akses maklumat, kami baca prestasi wakil rakyat satu persatu. Kalau calon itu tak buat kerja sepanjang penggal dan tiba-tiba muncul masa pilihan raya, memang kami perasan. Itu bukan cara untuk yakinkan anak muda,” katanya.

Menurutnya, pengundi kini lebih berminat menilai sejauh mana calon benar-benar menyelesaikan isu asas seperti air bersih, jalan raya, bekalan elektrik dan kemudahan kesihatan.

“Habuan politik tidak boleh selesaikan hidup kami yang susah bertahun-tahun. Masalah kampung masih sama walaupun pilihan raya sudah beberapa kali berlalu. Orang sekarang tidak semudah dulu untuk percaya,” katanya.

Sementara itu, pengundi luar bandar, Eliah Gorus, 21, berkata, penduduk kampung kini lebih berhati-hati dan tidak lagi menerima bulat-bulat apa yang diberi ketika kempen.

Katanya, penduduk kampung sudah terlalu lama mendengar janji berulang namun tidak melihat hasilnya.

“Orang kampung sudah semakin bijak. Kami tengok siapa yang betul-betul buat kerja. Kalau jalan masih rosak, air masih tidak ada, apa guna bantuan sekali dua? Itu bukan penyelesaian.

“Setiap kali pilihan raya, janji besar-besar. Lepas habis pilihan raya, semua hilang. Jadi bila ada yang datang hulur barang, kami anggap itu cuma bantuan sementara. Hidup kami tidak berubah dengan satu plastik barang,” katanya.

Bagi Nizah Aliam, 22, turut berkongsi pandangan bahawa pengundi wanita muda kini jauh lebih berwaspada terhadap taktik politik yang bersifat sementara.

“Sekarang orang sudah celik. Kami undi sebab kami mahu masa depan yang stabil, bukan sebab dapat sesuatu di tangan. Kalau calon datang hulur bantuan seminggu sebelum undi, itu tidak cukup untuk yakinkan kami,” katanya.

Menurutnya, anak muda semakin berani membuat penilaian sendiri berdasarkan apa yang telah dilakukan calon, bukannya sekadar janji mereka di pentas ceramah.

“Kami lihat rekod kerja. Kalau calon hanya muncul masa kempen dan bawa janji serta barangan, memang tak makan. Anak muda mahu pemimpin yang konsisten turun padang, bukan yang hanya muncul bila perlu undi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN