KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah meletakkan komitmen mengurus dan memastikan pemulangan 40 peratus hak negeri sebagai keutamaan tertinggi dalam manifestonya, yang dilancarkan hari ini.
Komitmen itu juga diletakkan sebagai asas utama kepada lapan janji besar, 10 keutamaan dan tujuh agenda pentadbiran yang digariskan bagi memastikan hasil negeri dinikmati sepenuhnya oleh rakyat Sabah dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengerusi PH Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihaknya melihat komitmen kerajaan pusat, terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tegas menyatakan bahawa tiada rayuan bagi isu 40 peratus hak Sabah.
“PH Sabah mengambil posisi untuk mengurus pemulangan 40 peratus hak Sabah. Kami juga tidak beretorik isu ini.
“Inilah kali pertama kita mendapat Perdana Menteri yang terus mengatakan akan melaksanakan MA63 dalam suasana perundingan antara kerajaan pusat dan negeri.
“Agenda yang lebih penting adalah memastikan rakyat Sabah dapat merasai hasil tanah tumpah darah mereka,” katanya pada majlis pelancaran komitmen PH Sabah di sini, hari ini.
Menerusi senarai keutamaan itu, PH Sabah turut berjanji untuk membina empangan bagi memastikan bekalan air konsisten di seluruh negeri, selain meneroka tenaga hijau dan lestari serta membangunkan loji janakuasa baharu untuk meningkatkan kapasiti asas tenaga.
Malah, PH Sabah juga akan menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada pelajar layak bagi memastikan akses saksama kepada pendidikan berkualiti.
Bantuan kewangan RM100, serupa pendekatan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), diberikan kepada rakyat Sabah berumur 18 tahun ke atas, disamping membangunkan sistem rel ringan Kota Kinabalu (KKLR) untuk meningkatkan pengangkutan awam.
Di bawah agenda hak Sabah terjamin, PH Sabah berjanji menubuhkan Sabah Sovereign Wealth Future Fund sebagai dana legasi anak Sabah, diurus secara profesional, dilapor kepada Dewan Undangan Negeri (DUN), dan dilaburkan untuk manfaat generasi akan datang.
Agenda akauntabiliti pula memperkenalkan jawatankuasa pilihan khas DUN rentas parti, sementara penstrukturan Kabinet bagi meningkatkan produktiviti pentadbiran turut diletakkan di bawah agenda reformasi pentadbiran Sabah.
Agenda aspirasi anak muda menetapkan sasaran menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dengan gaji setimpal kelayakan dan elaun sara hidup RM1,200, selain membangunkan industri bernilai tinggi melalui aktiviti hiliran.
Agenda pemerkasaan wanita pula memastikan kumpulan itu terus menjadi peneraju keluarga, ekonomi dan kepimpinan, termasuk 30 peratus penyertaan wanita dalam kabinet Sabah, kepimpinan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan pemimpin tempatan. – UTUSAN










