Pakatan Harapan berpotensi kekal selesa di DUN Likas

Pakatan Harapan berpotensi kekal selesa di DUN Likas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERUSI Dewan Undangan Nege­ri (DUN) Likas antara tumpuan utama dalam Pilihan Raya Nege­ri (PRN) Sabah apabila kawasan majoriti pengundi Cina itu kembali dipertandingkan dengan persaingan enam penjuru termasuk seorang calon Bebas.

Sejak 2013, Likas dianggap kubu kuat Pakatan Harapan (PH) dan DAP selepas mencatat kemenangan selesa dalam tiga PRN berturut-turut, termasuk ke­putusan pada 2020 yang me­nyaksikan parti itu meraih lebih 85 peratus undi.

Keputusan ini memberi gambaran sokongan berterusan pe­ngundi bandar terhadap mesej reformasi, tadbir urus baik dan hubungan yang stabil bersama kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, landskap PRN kali ini membawa sedikit kejutan apabila penyandang, Tan Lee Fatt, digugurkan daripada senarai calon dengan strategi mengukuhkan kedudukan PH di Kota Kinabalu apabila DAP mengetengahkan Pengerusi DAP Sabah dan bekas ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe atau dikenali Ginger bagi mempertahankan Likas.

Beliau dijangka bergantung kepada pengaruhnya sebagai pemimpin peringkat negeri dan rekod pentadbiran sebelum ini dalam meyakinkan pengundi bahawa perubahan calon bukan isyarat ketidakstabilan dalaman parti, sebaliknya strategi bagi memastikan kesinambungan penguasaan PH di kawasan bandar Sabah.

Di blok bukan PH, cabaran terkuat datang daripada Parti Warisan yang mempertaruhkan Tham Yun Fook dengan naratif autonomi Sabah, hak negeri dan penegasan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sementara itu, SAPP, Parti Impian Sabah (PIS), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Kebangsaan Sabah (PKS) turut meletakkan calon masing-ma­sing, sekali gus memecah undi pembangkang dalam blok Cina bandar.

Situasi pertarungan pelbagai penjuru ini secara tradisinya menguntungkan DAP kerana undi anti-kerajaan kebiasaannya terpecah ke beberapa parti. Analisis PRN lalu menunjukkan Likas sukar ditembusi jika cabaran terhadap penyandang tidak datang secara bersatu dan sehaluan.

Isu bandar turut menjadi antara faktor penentu undi, antaranya kos sara hidup, kesesakan lalu lintas, masalah parkir dan pembangunan. Pengundi bandar lazimnya menilai rekod pentadbiran dan prestasi kerajaan secara lebih langsung berbanding retorik politik semata-mata.

Selain itu, pengundi muda bandar dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan saiz majoriti, dengan kecenderungan mereka yang lebih kritikal terhadap prestasi kerajaan dan lebih terdedah kepada kempen media sosial.

Melihat pola undi dan kekuatan jentera parti, Likas masih kekal dikategorikan sebagai kerusi selamat untuk PH–DAP, namun sama ada perubahan majoriti kekal besar atau menurun akan menjadi indikator awal sentimen pengundi Cina bandar terhadap kerajaan Perpaduan.

Sekiranya Warisan atau SA­PP berjaya merapatkan jurang undi, ia memberi isyarat bahawa pengundi Cina bandar mula terbuka terhadap naratif parti tempatan, namun jika PH mengekalkan majoriti besar, mesejnya jelas mereka masih memilih kesinambungan berbanding perubahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN