Kebebasan media, bersuara wajar dipertahan daripada tekanan politik, ugutan

Kebebasan media, bersuara wajar dipertahan daripada tekanan politik, ugutan

Perlembagaan Persekutuan Rukun Negara
NURUL SYAZWANI NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kebebasan media dan hak bersuara yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mesti dipertahankan daripada sebarang bentuk tekanan politik atau ugutan terhadap pengamal media.

Ketua Penerangan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nurul Syazwani Noh berkata, kuasa politik bukan lesen untuk menekan pemberita, sebaliknya pemimpin harus menunjukkan teladan dengan menghormati peranan wartawan sebagai penyampai maklumat kepada rakyat.

Beliau berkata, justeru pihaknya membuat 10 laporan polis secara serentak di seluruh negara oleh kepemimpinan Srikandi negeri bagi mendesak satu siasatan dilakukan terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Malah, menurutnya, Srikandi Bersatu turut mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menjalankan siasatan bagi memastikan prinsip kebebasan media tidak dicemari dengan penyalahgunaan kuasa atau pengaruh politik.

“Laporan dibuat berdasarkan Seksyen 503 Kanun Keseksaan berhubung ugutan jenayah terhadap wartawan dan kedua, Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan penyalahgunaan kedudukan oleh pegawai awam bagi kepentingan peribadi atau politik.

“Wartawan tidak boleh diugut atau diperlekeh hanya kerana bertanya soalan yang sah. Tindakan sedemikian menjejaskan kebebasan media dan mencipta budaya takut dalam kalangan pengamal media,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nurul Syazwani turut menambah, kebebasan media adalah asas kepada demokrasi yang matang, dan sebarang bentuk intimidasi terhadap wartawan boleh menggugat kepercayaan masyarakat terhadap ketelusan serta kebertanggungjawaban kerajaan.

Selasa lalu akhbar ini melaporkan Kor Ming ketika mengumumkan projek pencahayaan bandar ‘I Lite U’ di ibu negara berang dengan soalan daripada wartawan Utusan Malaysia yang bertanyakan mengapa tema projek tersebut dalam bahasa Inggeris dan bukan bahasa kebangsaan.

Beliau berkata dan mempersoal ‘awak dari media mana? saya akan hubungi editor awak’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN