PETALING JAYA: Bekas Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon mengesahkan beliau akan menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Mengulas spekulasi perpindahannya ke KDM, Poon berkata, penyertaan beliau ke parti itu akan diumumkan pada majlis di Sandakan esok.
Katanya, bekas setiausaha DAP Sabah, Liau Fui Fui juga dijangka turut menyertai parti sama.
“Ya, esok di Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Jenis KebangsaanTiong Hua, Sandakan,” katanya.
Satu undangan media yang diedarkan memaklumkan mengenai acara penyerahan borang keahlian pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya KDM.
Majlis tersebut dijangka dihadiri pemangku presiden KDM, Priscella Peter dan timbalannya, Wetrom Bahanda, namun undangan itu tidak menamakan individu tertentu yang akan hadir.
Oktober lalu, media melaporkan, Poon dan Fui meninggalkan DAP dengan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan semasa parti tersebut.
Kedua-dua mereka mendakwa DAP Sabah yang diketuai Phoong Jin Zhe lebih mengutamakan ahli muda dan mengetepikan golongan veteran meskipun golongan itu banyak menyumbang kepada pertumbuhan parti selama ini.
Bagaimanapun, Jin Zhe menepis dakwaan tersebut dan menegaskan masih terdapat veteran yang memegang jawatan penting dalam DAP Sabah.
Poon yang sebelum ini merupakan ADUN Tanjong Papat selama dua penggal pernah berkhidmat sebagai Menteri Negeri dari 2018 hingga 2020 sementara Fui pula pernah memegang jawatan setiausaha penganjur DAP Sabah dan pernah bertanding di kerusi Parlimen Batu Sapi mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. – UTUSAN










