PETALING JAYA: Kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat semakin goyah apabila tekanan dalaman parti semakin memuncak susulan pemecatan dua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan desakan terbuka agar beliau berundur.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mohd. Azhar Abd. Hamid berkata, pergolakan dalaman Bersatu kini semakin terbuka dengan pelbagai tindakan dan kenyataan yang menggambarkan perpecahan dalam kalangan pimpinan negeri serta akar umbi.
“Selepas pemecatan dua ahli MPT, langkah Saifuddin Abdullah yang mendesak Muhyiddin berundur menandakan wujud krisis kepercayaan yang serius terhadap kepemimpinan tertinggi parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mula bertindak termasuk memecat dan menggantung keahlian pemimpinnya yang didapati bersekongkol menentang pucuk pimpinan parti terutama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden.
Lembaga Disiplin parti mengambil tindakan tersebut selepas siasatan mendapati mereka melanggar Perlembagaan, kod etika dan tatakelakuan ahli termasuk isu 120 akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan cubaan menjatuhkan Muhyiddin.
Tambah Mohd. Azhar, situasi itu boleh memberi kesan langsung terhadap kekuatan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Secara logiknya, krisis dalaman yang tidak dikawal akan melemahkan imej parti, gerak kerja akar umbi dan menjejaskan keyakinan pengundi, dan dalam masa sama, ia memberi ruang kepada pesaing politik lain untuk memperkukuh kedudukan.
“Bersatu kini berada dalam fasa genting dan masa depan parti itu banyak bergantung kepada sejauh mana Muhyiddin mampu menstabilkan keadaan menjelang PRN Sabah dan PRU16,” jelasnya.
Mohd. Azhar berpendapat bekas Perdana Menteri itu masih memiliki kekuatan politik tersendiri walaupun berdepan tekanan besar daripada pelbagai pihak.
Beliau menyatakan, Muhyiddin merupakan antara pemain utama dalam politik nasional dan telah melalui pelbagai ujian getir ketika berada dalam UMNO dahulu.
“Buat masa ini Muhyiddin dijangka akan terus bertahan dan melawan kerana masih mendapat sokongan daripada sebahagian besar kepemimpinan negeri,” katanya.
Sementara itu, Lembaga Disiplin Bersatu memanggil tiga lagi ketua bahagian untuk memberi keterangan pagi semalam.
Mereka ialah Ketua Bahagian Puchong, Shukor Mustafa; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali dan Ketua Bahagian Pendang serta Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Abdul Razak Khamis.
Mereka dijangka memberi keterangan berhubung beberapa pergolakan dalaman parti yang berlaku pada ketika ini.
Menurut jemputan media yang dihantar, prosiding Lembaga Disiplin akan dipengerusikan Datuk Mohammed Radzi Manan, dengan keanggotaan panel turut melibatkan Sasha Lyna Abdul Latif serta seorang lagi ahli yang dilantik.
Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dipecat daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Selain Wan Saiful, turut dipecat ialah Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail; Ketua Bahagian Ampang, Mohd. Isa Saidi; Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis dan Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd. Azrudin Md. Idris.
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang juga ahli MPT digantung keahlian selama satu penggal.
Kesemua pemimpin berkenaan dipanggil oleh Lembaga Disiplin pada 8 Oktober lalu berhubung beberapa dakwaan, termasuk isu pengumpulan SD untuk menjatuhkan Muhyiddin. – UTUSAN










