PAKATAN Harapan (PH) Terengganu memperkukuh struktur organisasi di peringkat negeri seterusnya ke peringkat Parlimen menerusi perubahan Majlis Pimpinannya sejak setahun lalu.
Bagi Pengerusi PH Terengganu, HASBIE MUDA, kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) ada banyak potensi dan kelebihan tetapi gagal disusun membentuk kekuatan ampuh sehingga kedua-dua gabungan itu tewas teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Parti Amanah turut berkongsi pandangan kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. SHARIZA ABDULLAH cabaran yang perlu diatasi jika mahu mencipta kejutan di Terengganu pada PRN akan datang.
UTUSAN: Bagaimana gerak kerja PH Terengganu selepas hampir setahun dibentuk?
MOHD. HASBIE: Pakatan Harapan (PH) Terengganu baru selesai memperkemas struktur di peringkat negeri dan Parlimen melalui pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pakatan Harapan di semua Parlimen. Alhamdulillah, muafakat yang erat antara Parti Amanah Negara, PKR dan DAP di Terengganu membolehkan kami membuat banyak keputusan penting secara konsensus.
Ketika ini, Perikatan Nasional (PN) seolah-olah ‘kebal’ di Terengganu. Mampukah gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) memberi saingan dengan peluang dikatakan sangat tipis?
Peluang untuk menang kerusi di Terengganu lebih cerah melalui kerjasama dengan BN menerusi Kerajaan Perpaduan, dengan syarat kerjasama di setiap peringkat dapat diperkemas.
Pengajaran yang dapat diambil daripada pilihan raya negeri lalu?
Kedua-dua gabungan sama ada BN atau PH tewas teruk kerana kita gagal duduk bersama membuat perancangan seterusnya melaksanakan setiap yang dirancang dengan kemas dan teratur. PH dan BN ada banyak potensi dan kelebihan tetapi gagal disusun membentuk kekuatan ampuh.
Sasaran realistik PH Terengganu pada pilihan raya negeri kelak?
Kita bukan sahaja mahu menang kerusi sulung tetap membentuk Kerajaan Perpaduan bersama BN di Terengganu.
Cabaran-cabaran utama pembangkang di Terengganu?
Untuk menyakinkan akar umbi PH dan BN bahawa muafakat kedua-dua gabungan ini benar-benar mampu mencipta kejutan sekali gus menjana gerak kerja optimum di setiap peringkat baik negeri, Parlimen, DUN dan cawangan-cawangan. – UTUSAN










