PENGGUGURAN Datuk Seri Saifuddin Abdullah sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang menimbulkan pelbagai spekulasi tentang masa depan politiknya, khususnya kedudukan sebagai Ahli Parlimen Indera Mahkota.
Langkah Majlis Tertinggi PN menggantikan beliau dengan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dilihat sebagai usaha menyusun semula kepemimpinan negeri ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Saifuddin yang sebelum ini dianggap antara tokoh reformis dalam PN memegang kerusi Indera Mahkota sejak PRU14 dan mempertahankannya dalam PRU15 atas tiket PN. Namun, pengguguran jawatan pengerusi negeri menimbulkan persoalan sama ada beliau masih mendapat kepercayaan penuh daripada kepemimpinan Pusat untuk terus menjadi calon mewakili gabungan itu di Indera Mahkota.
Tindakan tersebut dilihat boleh menjadi petanda awal kepada penyingkiran Saifuddin daripada senarai calon PN, khususnya jika strategi gabungan terbabit lebih memihak kepada calon Pas yang mempunyai sokongan akar umbi lebih kukuh berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Pahang.
Pas yang kini menguasai jawatan pengerusi PN negeri, dijangka memainkan peranan lebih besar dalam menentukan calon dan hala tuju kempen gabungan tersebut di negeri ini. Walaupun Saifuddin masih kekal sebagai Ahli Parlimen, kedudukannya dalam PN kini dilihat goyah. Tanpa jawatan pengerusi, pengaruh beliau dalam menentukan strategi politik mungkin terhad.
Pada PRU15 lalu, Saifuddin mempertahan kerusi Parlimen Indera Mahkota apabila menewaskan tiga pencabarnya dengan majoriti 8,399 undi. Beliau memperoleh 41,692 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Zuraidi Ismail, yang hanya meraih 33,293 undi. Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Quek Tai Seong hanya mendapat 16,530 undi dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr. Mohamad Nor Sundari memperoleh 1,864 undi.
Pada PRU14, Saifuddin memenangi kerusi Parlimen itu atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 10,950 undi menewaskan pencabarnya dari BN dan Pas.
Penganalisis politik, Dr. Che Hamdan Che Mohd. Razali berkata, pengguguran Saifuddin sebagai Pengerusi PN Pahang bukan sekadar pertukaran jawatan, tetapi memberi gambaran tentang kedudukannya dalam gabungan itu di negeri ini sedang dinilai semula oleh kepimpinan Pusat.
“Dalam konteks politik semasa, langkah ini boleh ditafsir sebagai usaha menyusun semula strategi gabungan itu menjelang pilihan raya umum akan datang, terutama di kerusi panas seperti Indera Mahkota. Perubahan ini juga membuka ruang kepada Pas untuk memperkukuh pengaruhnya di Pahang, yang secara tradisinya lebih condong kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Dengan Saifuddin digugurkan, Pas mungkin melihat peluang untuk mengetengahkan calon mereka sendiri di Indera Mahkota atau sekurang-kurangnya meletakkan syarat yang lebih tegas dalam rundingan kerusi. Ini boleh menjejaskan peluang Saifuddin untuk bertanding semula, apatah lagi jika wujud sentimen dalaman yang meragui keberkesanan beliau sebagai pemimpin PN negeri,” katanya.
Beliau juga melihat, hala tuju politik Saifuddin mungkin malap kerana sudah kerap kali berhijrah dalam politik kepartian.
“Sejarahnya, kalau terlalu kerap melompat ini akhirnya dipinggirkan,” ujarnya. – UTUSAN










