PERGOLAKAN dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin ketara menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, menimbulkan persoalan sama ada parti itu benar-benar bersedia untuk turun ke gelanggang politik dua minggu lagi.
Tindakan Lembaga Disiplin parti terhadap beberapa pemimpin kanan dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) jelas menunjukkan keadaan dalam Bersatu masih jauh daripada stabil.
Tiga lagi pemimpin termasuk Timbalan Speaker DUN Kedah, Abdul Razak Khamis, bersama Ketua Bahagian Puchong, Shukor Mustafa dan Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali menjadi individu terbaharu dikenakan tindakan.
Siri pemecatan dan penggantungan yang turut melibatkan nama besar seperti Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bukan sahaja menggugat struktur organisasi parti, malah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi yang semakin keliru dengan hala tuju kepemimpinan.
Kesan daripada kemelut ini, tanggungjawab kini terletak di bahu Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, untuk memastikan jentera Bersatu tetap berfungsi menghadapi PRN Sabah.
Namun, sumber dalaman mendakwa parti itu masih belum memuktamadkan bilangan kerusi yang bakal ditandingi, walaupun Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini menyatakan senarai kerusi sudah dikenal pasti.
Lebih membimbangkan, senarai calon dikatakan hanya akan dimuktamadkan pada minggu hadapan, tempoh yang amat singkat bagi sebuah parti besar menjelang penamaan calon pada 15 November.
Keadaan ini membuka ruang kepada pelbagai tafsiran mengenai ketidaksefahaman dalam kalangan pimpinan tertinggi.
Di peringkat akar umbi, wujud perpecahan ketara antara dua kem utama iaitu kumpulan penyokong Hamzah dan Azmin yang masing-masing dilihat mahu mendominasi strategi parti menjelang pilihan raya.
Situasi ini berbeza dengan Pas, rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN), yang sudah mengumumkan hasrat untuk bertanding di 12 kerusi dan dilihat lebih tersusun dalam gerak kerja awal.
Pasca PRU15 lalu, Bersatu Sabah turut berdepan tamparan hebat apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor meninggalkan parti dan memilih kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Jika konflik dalaman ini gagal diselesaikan segera, Bersatu bukan sahaja berisiko kehilangan momentum kempen, malah bakal berdepan persepsi negatif pengundi bahawa parti itu kini berpecah dan tidak mempunyai kesatuan hala tuju menjelang hari pengundian pada 29 November ini. – UTUSAN










