KUALA LUMPUR: Akuan bersumpah (SD) membabitkan 120 Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan bertujuan mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan Presiden parti.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu , Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sebaliknya SD tersebut adalah bagi menyokong Muhyiddin mengatur pelan peralihan sekali gus menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa mereka menolak kepimpinan Presiden Bersatu itu yang disifatkan sebagai naratif songsang.
“Malahan kalau diteliti, kita siap letakkan syarat bahawa Tan Sri Presiden mesti terus di depan. Di mana salahnya kandungan dokumen ini? Tidak ada satu ayat pun menolak Presiden. Saya harap kita jelas mengenai kandungan dokumen ini.
“Seterusnya, timbul persoalan, mana datangnya naratif songsang bahawa ada usaha nak menjatuhkan Presiden? Sehingga isu ini dimasukkan oleh individu yang menulis ucapan dasar Presiden dan menjadi polemik dalam parti hingga hari ini. Dan kami empat orang pula dipanggil ke Lembaga Disiplin,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan empat ketua bahagian Bersatu termasuk Wan Saiful akan dihadapkan ke Jawatankuasa Lembaga Disiplin untuk tindakan tatatertib berhubung dakwaan berkenaan.
Selain Wan Saiful, tiga pemimpin Bersatu lain yang dipanggil ialah Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali dan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail.
Mereka didakwa terlibat dalam pengumpulan SD dalam kalangan Ketua Bahagian Bersatu seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, Muhyiddin dikatakan belum melihat SD yang sebenar.
Katanya, pada peringkat awal, Wan Saiful berkata beliau mahu menjelaskan mengenai perkara itu dalam satu mesyuarat sebelum Perhimpunan Agung Tahunan (PAT).
Namun katanya, Muhyiddin berkata beliau ingin fokus kepada isu yang lebih penting terlebih dahulu berkaitan dengan PAT.
Mengulas lanjut, Wan Saiful turut berkata, beliau dijadual akan berjumpa dengan Muhyiddin pada Rabu ini bagi menjelaskan kemelut yang berlaku.
“Itu isu dalaman yang tidak perlu didedahkan di sini, kita akan bincang secara dalaman,” katanya ketika ditanya apa harapan 120 Ketua Bahagian daripada hasil pertemuan itu nanti. – UTUSAN










