ALOR SETAR: Pas perlu melangkah dengan strategi politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dengan memberi fokus lebih besar kepada pengundi bukan Islam, sekaligus mengembangkan tapak sokongan parti di luar kelompok tradisi Melayu-Islam.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, parti itu perlu menggunakan peluang di sebalik kekecewaan pengundi bukan Islam kepada parti memerintah sekarang terutama Pakatan Harapan (PH).
“Pengundi kecewa dengan UMNO setelah 60 tahun tetapi mereka tolak PH selepas tiga tahun memerintah. Setelah tiga tahun PH jadi pemerintah kita dengar pelbagai kritikan, cemuhan dan rasa tidak puas hati bukan sahaja dalam kalangan Melayu tetapi juga Cina.
“Orang Cina kritik Perdana Menteri dan PH di media sosial dalam bahasa mereka. Saya baca tetapi tidak faham tetapi kawan Cina saya terjemahkan. Saya lihat penolakan besar kepada Perdana Menteri dan PH.
“Ini satu peluang besar kita sebagai pembangkang perlu ambil peluang, menangguk di air keruh. Tak apalah, mana ada orang yang menangguk di air jernih orang gila pun tidak menangguk di air jernih,” katanya pada Majlis Perasmian Muktamar Dewan Muslimat Pas di sini hari ini.
Mohd. Amar berkata, Pas perlu membina naratif sebagai penyelamat kepada masyarakat bukan sahaja sebagai jurucakap kepada Islam dan Melayu namun seluruh rakyat.
“Orang bukan Islam selalu komen tentang ini. Imej Pas ini eksklusif kepada Melayu dan Islam. Namun pengundi yang ada adalah manusia daripada pelbagai bangsa dan agama. Kita kena prihatin kepada semua orang.
“Orang Cina kecewa dengan PH dan mereka beritahu kepada kita bahawa sudah tidak boleh dengan PH lagi. Jadi kita kena buat pembetulan ke atas diri sendiri. Saya takut ketika pilihan raya ini yang terjadi hanya dua perkara sahaja, mereka undi Perikatan Nasional dan jika tidak, mereka tidak akan keluar mengundi,” jelasnya.
Beliau berkata, pengundi bukan Islam perlu difahamkan bahawa Pas bukan hanya membawa suara Islam dengan pengertian yang sempit tetapi bersifat sejagat.
“Islam membawa rahmat kepada semua makhluk di dunia, mesej ini perlu dikembang kembali dan perkukuhkan ke dalam dunia politik. Manusia sudah kecewa dengan pemikiran ideologi politik yang ada,” katanya.
Bagaimanapun ujarnya, di sebalik keghairahan menawan hati orang bukan Islam itu Pas tidak seharusnya mengorbankan identiti parti yang berteraskan Islam.
“Kita semua kena keluar dari kepompong bahawa kita bukan hanya untuk rakyat orang Islam tetapi Melayu, Cina dan India. Tetapi bukan dengan korbankan identiti Islam semata-mata kerana ingin tawan hati bukan Islam kerana Islam ajaran kepada semua manusia dan kita merasa yakin kerana Islam penuh kehebatan,” katanya.










