JOHOR BAHRU: Proses perundangan yang dikenakan terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh perlu berjalan secara adil tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Md Shah berkata, keadilan yang berat sebelah hanya mencetus persepsi bahawa suara anak muda sedang disekat oleh sang penguasa.
Beliau berkata, Pemuda UMNO amat kesal dan memandang serius siasatan dan gesaan pendakwaan terhadap Dr. Muhamad Akmal setelah kebebasan bersuara adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan asas demokrasi negara.
“Kami memahami ia mesti diamalkan dengan penuh tanggungjawab berlandaskan prinsip Rukun Negara, khususnya Kesopanan dan Kesusilaan serta Kedaulatan Undang-Undang.
“Pemuda UMNO percaya bahawa dalam ketegasannya, Dr Mohamad Akmal tidak pernah berniat menghasut, sebaliknya ikhlas berpegang pada prinsip mempertahankan kedaulatan dan simbol negara,” katanya dalam kenyataan.
Datuk Dr. Muhamad Akmal mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan kontroversi berhubung isu Jalur Gemilang, baru-baru ini.
Minggu lalu, beliau dilaporkan mengetuai lebih 300 individu daripada UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas mengadakan satu himpunan berhubung isu bendera terbalik di Pulau Pinang.
Mohd. Hairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri menegaskan sebarang tindakan undang-undang mesti dilaksanakan secara adil, telus, dan bebas daripada tekanan politik.
“Biarlah mahkamah yang menentukan keadilan bukan tekanan politik atau persepsi jalanan.
“Pemuda UMNO terus berdiri teguh bersama Dr. Muhamad Akmal dan yakin beliau akan melalui proses ini dengan tabah, berpegang kepada prinsip keadilan serta etika Rukun Negara,” ujarnya. – UTUSAN










