IPOH: Cabaran Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen sekali gus membolehkan pilihan raya umum (PRU) dilaksanakan merupakan cabaran yang karut.
Pakar Perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri dua kali tidak seharusnya membuat cabaran itu kerana perkara itu di luar kuasa Perdana Menteri.
Menurutnya, Perlembagaan jelas memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong ada kuasa untuk menolak pembubaran Parlimen.
“Senario sekarang Perdana Menteri secara rasmi mempunyai sokongan dua pertiga majoriti dan sudah melepasi 32 bulan.
“Baki tidak sampai dua tahun ini banyak kerja yang perlu diselesaikan. Hal-hal ini adalah antara perkara yang boleh diambil kira oleh Agong untuk menolak permohonan membubarkan parlimen,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak berkata, selain itu kos pilihan raya yang tinggi juga boleh diambil kira.
Menurutnya, dalam konteks pertukaran kerajaan sebelum tempoh lima tahun sampai, satu-satunya jalan yang dibenarkan oleh Perlembagaan ialah usul undi tidak percaya.
“Suruhanjaya Reid jelas menyebut bahawa dalam soal membubar parlimen kuasa muktamad adalah di tangan Agong,” katanya.
Abdul Aziz berkata, Mahathir hanya menjatuhkan imej sebagai seorang negarawan dalam membuat cabaran yang merepek itu.
“Begitu juga apabila Mahathir menyertai Himpunan Turun Anwar’. Memang beliau mempunyai hak berhimpun tetapi sebagai bekas Perdana Menteri yang diberikan pelbagai kemudahan oleh kerajaan, beliau harus menjaga kehormatan jawatan tersebut,” katanya.
Kelmarin Mahathir mencabar Perdana Menteri supaya membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) sekiranya benar-benar yakin mendapat sokongan rakyat.
Bekas Perdana Menteri itu turut mendakwa sokongan terhadap Anwar di Dewan Rakyat diperoleh bukan secara ikhlas, sebaliknya kerana rasa takut dalam kalangan Ahli Parlimen. – UTUSAN










