SHAH ALAM: Usul untuk menggantikan Presiden Parti Bersatu (Bersatu) disifatkan sebagai dangkal dan akan memecah-belahkan parti dalam usaha menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Harrison Hassan berkata, tindakan segelintir pemimpin parti disifatkan cetek pemikiran atau tidak matang apabila membawa usul yang bertentangan dengan mandat untuk mempertahankan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu menerusi Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, sebelum ini.
“Agak mengecewakan pada ketika semua Bahagian sedang sebok berkampung dalam persidangan masing-masing, ada juga di dalam kalangan pemimpin parti yang cetek pemikiran serta tidak matang politik dengan mengusulkan sesuatu yang telah pun dipersetujui sebelum ini.
“Taktik dan helah itu seolah-olah berniat jahat untuk melemahkan institusi presiden serta kepimpinan utama parti bagi mengepalai bahtera Bersatu pada PRU16 nanti,” katanya, kepada pemberita hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Bersatu Bahagian Port Dickson sebulat suara meluluskan usul agar peralihan kepimpinan parti yang menyaksikan Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin disaran mengambil alih peranan sebagai Presiden, menggantikan Muhyiddin.
Usul yang dibentangkan dalam mesyuarat agung tahunan bahagian itu turut mencadangkan Muhyiddin diberi peranan sebagai penasihat dan mentor kepada parti.
Harrison yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kuala Selangor menggesa perwakilan serta ahli parti semua perlu memperkukuhkan institusi presiden dan tidak teragak-agak untuk mencadangkan individu membuat tindakan sedemikian dibawa ke lembaga disiplin parti.
“Dalam menghadapi cabaran politik yang tidak ketentuan ini, kesatuan dan kesepakatan dalam parti merupakan tunjang utama dalam memastikan agenda perjuangan parti di julang sehingga PRU16.
“Sebarang usaha mengaburi mata ahli dan memecah-belahkan kesatuan parti wajib dihentikan serta merta,” tegasnya. – UTUSAN