UMNO Kedah bidas pemimpin PKR isu Titah Adendum

UMNO Kedah bidas pemimpin PKR isu Titah Adendum

SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: UMNO Kedah membidas kenyataan seorang pemimpin PKR yang menuduh desakan Ketua-ketua UMNO Bahagian dalam isu Titah Adendum kononnya biadab terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, persoalan yang timbul kini cukup mudah iaitu siapa sebenarnya yang biadab dalam perkara itu.

“Pemimpin UMNO yang secara terbuka dan tertib menuntut pelaksanaan Titah Adendum yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 atau mereka yang menyembunyikan titah itu daripada pengetahuan rakyat, walaupun telah disahkan kewujudannya oleh Peguam Negara.

“Lebih biadab malah derhaka apabila titah Raja dipermainkan, dijadikan bahan spekulasi politik dan terus dilengah-lengahkan tanpa sebarang kejelasan,” katanya di sini, hari ini.

Media melaporkan, desakan terbuka segelintir ketua UMNO bahagian yang menuntut Anwar segera melaksanakan Titah Adendum berhubung isu pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan sebagai tidak beradab dan biadab terhadap ketua kerajaan.

Ketua Cabang PKR Gerik, Dr. Ahmad Safwan Mohamad berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja memberi tekanan tidak wajar kepada Perdana Menteri, malah berisiko mengelirukan rakyat serta mencemar prinsip pengasingan kuasa dan kedaulatan undang-undang.

Menurutnya, desakan itu seolah-olah memperlekeh peranan Perdana Menteri sebagai pemimpin yang sentiasa menjunjung tinggi institusi Raja-Raja Melayu serta proses perundangan negara.

Shaiful Hazizy yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata, Perdana Menteri sendiri telah menunjukkan kematangan dan keterbukaan dengan menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan UMNO dalam hal itu. 

“Namun malangnya, terdapat suara-suara dalam kalangan partinya sendiri yang bersikap celupar, menyerang dan memperlekeh pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan. Konon mahu mempertahan Perdana Menteri, tapi gaya celuparnya lebih banyak menconteng arang ke muka Perdana Menteri sendiri seolah-olah beliau lebih faham segala-galanya,” katanya.

Tambah beliau, pemimpin terbabit tidak perlu menjadi ‘lebih sudu dari kuah’ kerana beliau bukan jurucakap rasmi kerajaan apatah lagi penasihat institusi diraja. 

Katanya, UMNO berdiri atas prinsip serta bersuara kerana menjunjung titah dan tidak akan bergerak walau seinci pun dalam perkara tersebut. 

“Yang menipu rakyat dengan alasan prosedur dan janji tidak tertunai itulah pengkhianatan sebenar kepada institusi raja berperlembagaan. Titah Raja mesti dilaksana bukan disorok. Keadilan mesti ditegakkan, bukan ditangguhkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN