KUALA LUMPUR: UMNO menolak tohmahan bahawa parti itu telah hilang arah dan dikuasai pihak tertentu dalam Kerajaan Perpaduan yang digelar ‘UMDAP’, sebaliknya menyifatkan tuduhan tersebut sebagai propaganda murahan yang tidak berasas.
Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Seri Dr. Izudin Ishak berkata, UMNO kekal sebagai tunjang utama dalam mempertahankan asas Perlembagaan Persekutuan meskipun berada dalam kerajaan campuran.
Katanya, prinsip seperti kedudukan agama Islam, institusi Raja-Raja Melayu, bahasa kebangsaan dan hak keistimewaan orang Melayu terus dipelihara di bawah perjuangan UMNO dalam kerajaan hari ini.
“UMNO tidak pernah menggadaikan prinsip perjuangan. Kita kekal sebagai penjaga kepada asas Perlembagaan. Islam, Raja-Raja, Bahasa Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu tidak terusik walaupun kita berada dalam Kerajaan Perpaduan.
“Malah banyak dasar yang memperkasa Bumiputera dan pendidikan anak-anak Melayu terus diperjuangkan dikekalkan. Antaranya termasuk peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), program Tabika Pra-Tahfiz dan pelbagai agenda penting lain di kementerian yang dipimpin UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa 2025 di Hotel dan Residensi UTM, di sini hari ini.
Izudin berkata, terdapat pihak yang mempertikaikan keputusan parti untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan walaupun ia dilihat menjejaskan sokongan dalam kalangan ahli akar umbi.
Namun katanya, demi menjamin kestabilan dan kelangsungan negara, UMNO memilih untuk berkorban agar tidak kembali kepada kancah perebutan kuasa politik yang boleh merencatkan pembangunan.
“Ada yang bertanya, kenapa masih kekal dalam Kerajaan Perpaduan? Jawapan saya mudah. Kepentingan politik sementara tidak harus mengorbankan kelangsungan negara. Tapi kawan biarlah setia kerana sabar juga ada hadnya,” katanya.
Mengulas mengenai kebimbangan sesetengah pihak terhadap kedudukan agama Islam di bawah pentadbiran kerajaan sedia ada, Izudin menegaskan bahawa Islam di negara ini tidak pernah terancam.
Malah, katanya, keadaan kini lebih tersusun hasil pelaksanaan agenda yang jelas dan terancang.
“Ada yang bimbang ‘Adakah Islam terancam?’. Kita boleh jawab dengan tegas, tidak sama sekali! Islam tidak terancam bahkan lebih tersusun.
“Kita ada kuasa, kita ada suara, kita ada agenda dan kita sedang melaksanakannya. Tanpa kuasa kita tak mampu melakukannya. Nak bantu rakyat pun bukan mudah, pejabat UMNO pun satu ketika mereka nak ambil,” katanya. – UTUSAN










